suria

Jejambat Baru Jln Travers Ke Bangsar Akan Atasi Kesesakan - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kawasan Jalan Travers ke Jalan Bangsar akan selesai apabila sebuah jejambat yang menghubungkan kedua-dua jalan berkenaan siap sepenuhnya dan dibuka untuk laluan orang ramai 29 Julai lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pembinaan dengan kos RM34.5 juta, yang dijadual siap Mac tahun depan, bagaimanapun dapat disiapkan tujuh bulan lebih awal oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dengan siapnya jejambat di Jalan Travers dan Jalan Bangsar ini, saya percaya perjalanan trafik di kedua-dua jalan ini akan lebih lancar dan dapat membantu menyelesaikan sebahagian besar masalah kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya.

"Langkah ini (pembinaan jejambat) adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyatnya menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik dan selesa," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jejambat Jalan Travers/Jalan Bangsar atau Pakej 1 Sistem Penyuraian Trafik Untuk Kawasan Brickfields dan Kuala Lumpur Sentral di sini, Jumaat.

Beliau berkata, setelah dibuka, tahap kualiti aliran trafik di Jalan Travers yang juga berhampiran dengan projek pembangunan "Little India" di Brickfields dilihat kian bertambah baik.

Raja Nong Chik berkata pembinaan jejambat sepanjang 600 meter itu merupakan bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat komited dalam menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan juga memberi tumpuan serius ke arah meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini," katanya.

Beliau menambah, di bawah Projek Penyuraian Trafik bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terdapat lima projek untuk dinaik taraf dan dibina jejambat bagi melancarkan aliran trafik yang keseluruhannya berjumlah RM110 juta.

Lima pakej berkenaan adalah pembinaan jejambat Jalan Travers dan Jalan Bangsar, pembinaan jejambat dari Kuala Lumpur Sentral ke Jalan Damansara dan Lebuhraya Mahameru serta menaik taraf Jalan Tun Sambanthan dan kawasan sekitarnya.

Dua lagi ialah pembinaan jejantas dan kawasan pejalan kaki di kawasan Brickfields dan Kuala Lumpur Sentral dan menaik taraf dan membaiki jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur Sentral.

Dalam sidang akhbar kemudian, Raja Nong Chik berkata kelima-lima pakej itu akan dapat siap dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Jika tidak (siap), kita akan bawa ke hadapan ke RMK-10," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersedia mengemukakan pelan pembangunan semula Kampung Baru kepada Kerajaan Pusat, Raja Nong Chik berkata tindakan itu akan menambah kekeliruan di kalangan pemilik dan pewaris kampung berkenaan.

"Pada saya, usaha (Abdul) Khalid itu bertujuan memecahbelahkan penduduk, pemilik dan pewaris Kampung Baru. Pada saya, dia bertujuan menimbulkan konflik supaya orang keliru. Pihak lain boleh memberi cadangan dan idea, namun selebihnya terpulanglah kepada penduduk, pemilik dan pewaris itu sama ada menerimanya atau tidak," katanya.

Artikel Lain