suria

Hati-hati Beli Barangan Pada Promosi 'Jualan Murah'

BERA: Orang ramai diingatkan berhati hati semasa membeli barangan pada promosi "Jualan Murah" bersempena Aidifitri bagi mengelak daripada ditipu peniaga yang menjual barangan berkenaan pada harga lama dan bukannya pada harga diskaun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai yang merasakan mereka ditipu boleh membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa kementerian berhampiran ataupun menghubungi hot line kementerian 1300-888-255.

"Kementerian baru-baru ini telah mengeluarkan arahan bahawa peniaga atau pekedai yang hendak mengadakan jualan murah perlu mengemukakan semua senarai barang termasuk harga asal dan yang baru bagi membolehkan kelulusan diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Bera di pekan Kerayong di sini, Sabtu.

Beliau berkata peniaga atau pekedai yang melakukan penipuan di bawah Skim Jualan Murah boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi peniaga persendirian, denda RM250,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk syarikat.

Mengenai bekalan barang barang keperluan sempena musim perayaan, Ismail Sabri memberi jaminan barangan adalah mencukupi.

"Pemborong, pengilang, pembekal dan peniaga telah memberi jaminan akan menyediakan bekalan yang secukupnya bagi menyambut puasa dan hari raya puasa tahun ini," katanya.

Selain memberi jaminan bekalan mencukupi mereka juga memberi jaminan tidak akan menaikkan harga dan menjualnya mengikut harga yang telah ditetapkan kerajaan, kata Ismail Sabri. - BERNAMA

Artikel Lain