suria

Dua Rakyat Myanmar Maut Ditetak Rakan

IPOH: Dua lelaki warga Myammar maut selepas ditetak rakan mereka dengan sebilah kapak di sebuah rumah di Menglembu di sini awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada selisih faham mengenai wang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 2.15 pagi itu kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di perut dan kepala dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

"Polis masih gagal mengesan identiti kedua-dua mangsa berikutan tiada penemuan sebarang pengenalan diri dan pasport di kediaman mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata suspek yang menetak mangsa ditahan dua jam selepas kejadian di sebuah kawasan di Lahat di sini selepas usaha menjejakinya dilakukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Menglembu.

Katanya polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian. Mohd Dzuraidi berkata sebaik pihaknya tiba, kedua-dua mangsa yang ditemui di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia dengan kesan tikaman dan tetakan kapak di bahagian kepada serta perut.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara rakan serumah. Ia dipercayai berkaitan dengan masalah wang antara suspek dengan dua mangsa berkenan.

"Berlaku sedikit pergelutan antara suspek dengan kedua-dua mangsa sebelum suspek mengambil sebilah kapak dan menetak serta menikam mangsa," katanya.

Berdasarkan siasatan awal juga, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang kasut tanpa permit pekerjaan yang sah, katanya.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara dalam kejadian berasingan, mayat seorang kontraktor ditemui terbakar di dalam keretanya di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu di sini pada pukul 12.20 tengah hari tadi.

Mayat Ho Hoon Fong, 60, yang ditemui dengan kesan 80 peratus terbakar oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis, katanya.

Mohd Dzuraidi berkata polis menemui pemetik api dan sebotol minyak di dalam kereta yang dipercayai digunakan mangsa untuk membakar keretanya.

Beliau berkata siasatan awal polis turut mendapati mangsa bertindak membakar dirinya di dalam kereta jenis Honda Civic selepas dipercayai kecewa dengan teman wanitanya.

Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kes mati mengejut, katanya.

Beliau berkata orang awam yang melihat kejadian cuba membantu mangsa apabila melihat api sedang marak di dalam kereta berkenaan namun mangsa gagal diselamatkan.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebaik menerima laporan bagaimanapun ketika anggota bomba sampai, mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain