suria

Dua Lelaki Samun Kedai Emas Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan tukul dan parang menyamun sebuah kedai emas di sebuah pusat membeli belah di Setiawangsa di sini, Jumaat. Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, dua penjenayah itu bagaimanapun hanya sempat melarikan sejumlah kecil barang kemas kerana panik selepas mendapati dulang berisi barangan kemas yang cuba dilarikan mereka dirantai.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.50 petang apabila dua lelaki yang memakai topi keledar penuh tiba-tiba menerpa masuk ke dalam kedai emas itu sebelum memecahkan cermin ruang pameran.

"Mereka pada mulanya cuba untuk melarikan satu dulang barangan kemas, namun usaha mereka tidak berjaya kerana dulang itu dirantai pada satu lagi dulang yang lain," katanya ketika dihubungi di sini.

"Sebahagian barangan kemas itu kemudiannya jatuh bertaburan di atas lantai, dan suspek yang panik terus meninggalkan dulang itu dengan membawa lari sebahagian kecil daripada barangan kemas yang jatuh," tambahnya.

Zakaria berkata, polis menemui tukul dan parang yang digunakan suspek sebagai senjata, yang dibuang di kawasan tempat letak kereta pasaraya itu.

Katanya, menurut pekerja kedai emas itu yang bekerja seorang diri ketika kejadian, salah seorang daripada perompak itu bercakap dalam loghat Indonesia, manakala seorang lagi dengan loghat tempatan.-BERNAMA

Artikel Lain