suria

Biro Kelab Umno Luar Negara Sedia Pelan Strategik Pantau Kegiatan Pelajar Luar Negara

KUALA LUMPUR: Biro Kelab Umno Luar Negara akan menyediakan pelan strategik bagi memantau dan mengenal pasti faktor yang mengakibatkan terdapat penuntut Malaysia di luar negara yang cenderung tidak menyokong kerajaan.

Pengerusi biro, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pelan itu dijangka siap bulan depan untuk membolehkan Umno mencari pendekatan baru mendekati penuntut agar tidak menentang kerajaan.

"Kita mahu tahu kenapa jadi begitu, adakah kerana kurang perhatian kerajaan, kelemahan jabatan penuntut atau pendekatan tersendiri yang dimainkan pihak kedutaan Malaysia di luar negara," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis induksi dan makan malam pelajar baru United Kingdom dan Ireland di sini Sabtu, Ahmad Shabery berkata beberapa faktor juga perlu diteliti sama ada ia berkaitan faktor personaliti, organisasi, isu serta tohmahan pembangkang terhadap Umno dan kerajaan.

"Orang tidak menyebelahi kerajaan bukan kerana pembangkang baik, mungkin kerana personaliti (seseorang) dikaitkan dalam kerajaan yang boleh menimbulkan keresahan sehingga pergi kepada pembangkang," kata Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Majlis induksi dan makan malam anjuran kelab berkenaan dihadiri 100 pelajar. - BERNAMA

Artikel Lain