suria

Angkasa Pinda Undang-undang Kecil, Perintah Tetap Pertubuhan

GEORGE TOWN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meminda undang-undang kecil dan perintah tetap pertubuhan itu secara menyeluruh bagi tujuan penambahbaikan dalam aktiviti melibatkan perniagaan.

Presidennya, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata selain melakukan beberapa perubahan, pindaan itu turut memperkukuh undang-undang sedia ada seperti yang dituntut Akta Koperasi 1993 serta Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Pindaan ini perlu selaras dengan perubahan semasa bagi satu jangka masa yang panjang, dan kita harap tidak akan berlaku pindaan lagi dalam tempoh 30 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan persidangan khas kebangsaan untuk pindaan undang-undang kecil Angkasa di sini, Sabtu.

Persidangan itu dihadiri oleh 1,271 perwakilan dari 825 koperasi di seluruh negara.

Mohd Ali berkata pindaan kali keempat itu melibatkan aspek perwakilan, perniagaan dan jawatan. "Bagi pindaan perwakilan, setakat ini, Angkasa mempunyai lebih 4,000 orang ahli dan mempunyai sebanyak 6,500 buah koperasi, (jadi) kita akan perkecilkan saiznya.

"Dari aspek perniagaan pula, Angkasa akan membuat perniagaan yang tidak berlawanan dengan ahli bawahan bagi membantu mereka memperkasakan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata Angkasa telah menukar jawatan Yang Dipertua kepada Presiden serta menambah satu lagi jawatan untuk naib presiden, yang sebelum ini hanya disandang oleh tiga orang sahaja.

Selain itu, jawatan pengerusi negeri pula akan dilantik menerusi pemilihan komuniti di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata Angkasa telah menubuhkan Bank Koperasi Islam yang dijangka beroperasi April atau Jun tahun depan.

Beliau berkata dengan penubuhan bank berkenaan, penutupan akaun koperasi akan berubah ke bulan Disember setiap tahun berbanding bulan Jun sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain