suria

Anggota TLDM Sesat Ditemui Hari Ini

IPOH: Seorang anggota tentera yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Brinchang di Cameron Highlands 135km dari sini pada Ahad lepas ditemui di Kampung Sungai Teres, Gua Musang, pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa ditemui berada di dalam masjid di kampung berkenaan pada pukul 8.30 pagi oleh penduduk di situ yang kemudian melaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Cameron Highlands.

Polis yang bergegas ke kampung itu mendapati Lt Mohd Al-Amin Rohizat, 27, ditemui dalam keadaan selamat tetapi badannya agak lemah dan dia dihantar ke Hospital Cameron Highlands untuk pemeriksaan, katanya ketika dihubungi Sabtu.

Wan Mohd Zahari berkata Mohd Al-Amin dilaporkan tersesat sejauh 120km dari tempat dia mula mendaki di Gunung Brincang.

"Anggota tentera itu tidak banyak bercakap dan masih dalam keadaan lemah. Polis belum mengambil keterangan berhubung kejadian dan menunggu keadaannya kembali pulih," katanya.

Pada 31 Julai, anggota tentera itu tiba di Cameron Highlands dan bermalam selama sehari sebelum mendaki gunung pada keesokan harinya.

Dia sepatutnya keluar dari Gunung Brinchang itu pada Isnin dan pulang ke Lumut untuk kembali bertugas semula di Pangkalan TLDM tetapi gagal berbuat demikian.

Ibunya membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada petang Selasa selepas anaknya tidak pulang ke rumah seperti yang dijadualkan.

Pangkalan TLDM Lumut membuat laporan berhubung kehilangannya itu pada Rabu lepas.

Wan Mohd Zahari berkata bahawa selepas mendapat laporan daripada ibu Mohd Al-Amin, polis bersama tentera dan unit anjing pengesan telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat bermula pada pukul 2.30 petang Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain