suria

Peniaga Mati Ditembak Dalam Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di bahagian badan dan kepalanya di Jalan Kampung Melayu Subang menghala ke Sungai Buloh di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 7.40 pagi dari orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang memakai baju merah dan seluar pendek berwarna cokelat yang terdampar di bahu jalan berdekatan pintu masuk Pusat Penyelidikan Getah (RRI) Sungai Buloh.

Katanya, terdapat beberapa kesan tembakan di bahagian kepala dan badan mangsa yang dikenali sebagai Lim Chee Choye, 41, seorang peniaga dari Kampung Melayu Subang.

"Turut ditemui sebuah kereta jenis Honda yang kemudiannya dikenal pasti milik saudara mangsa terletak 200 meter dari tempat mayat ditemui," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Terdapat kesan darah dan tembakan di kereta terbabit dan beberapa butir peluru dan kelongsong ditemui dari jarak antara kereta dan mayat terbabit," katanya.

Arjunaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam atau masalah perniagaan kerana polis menemui barang peribadi mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit tidak terusik.

Katanya, polis percaya mangsa ditembak ketika sedang memandu dari Kampung Melayu Subang menghala Sungai Buloh dan sesampainya di RRI, mangsa keluar dari kereta bagi mendapatkan pertolongan berikutan penemuan kesan tembakan di pintu kereta terbabit.

"Kita percaya mangsa keluar dari kereta dan melarikan diri kira-kira 200 meter sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan lagi mengenai mangsa yang kemudiannya mati di tempat kejadian."

"Dipercayai waktu kejadian antara 6.30 hingga 7.30 pagi dan berlaku di kawasan yang sunyi. Oleh itu kita minta saksi kejadian segera tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat," katanya.

Beliau berkata, abang mangsa telah dimaklumkan berhubung kejadian terbabit dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Artikel Berikut

Artikel Lain