suria

Peneraju Agensi Islam Perlu Perbanyakkan Program - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru peneraju agensi-agensi Islam sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun negeri, memulakan langkah transformasi dengan menyemarakkan budaya ilmu dan melaksanakan program yang lebih inovatif untuk memacu kemajuan ummah.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka perlu menggunakan pendekatan yang lebih inovatif dalam membangunkan sistem pengurusan yang lebih cekap dan berstrategik melalui institusi agama, pengurusan zakat, baitul mal, masjid, sistem waqaf dan sebagainya.

"Hasilkan lebih banyak produk halal yang inovatif, pengurusan syariah dan perundangan serta perbankan Islam yang mampu memberi impak maksimum kepada rakyat. "Garap minda inovatif kita dengan melaksanakan program yang dapat menarik golongan muda mendekati Islam dan mampu menghayati ajaran Islam yang sebenar dan seterusnya menghasilkan generasi yang mampu memberi impak besar ke arah pembangunan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Inovasi Islam peringkat kebangsaan 2010 bertemakan "Inovasi 1Malaysia 1Ummah", yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Muhyiddin berharap agar agensi-agensi Islam di negara ini dapat menerajui usaha untuk membangunkan minda inovasi yang berasaskan acuan Islam khususnya di kalangan generasi muda.

"Selayaknya pendidikan yang kita berikan kepada generasi muda kita adalah pendidikan yang boleh membangunkan potensi mereka untuk menemukan dan mengembangkan rahsia yang tersembunyi di sebalik penciptaan Allah.

"Seseorang yang kreatif dan berinovasi akan mampu menjulang bukan sahaja kecemerlangan diri dan keluarganya, malah kegemilangan organisasi dan negaranya serta mencapai segala impian yang dicita-citakan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara mempunyai pengertian lebih luas bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan, sektor dan organisasi untuk membentuk inovasi mapan secara berterusan.

Katanya kerajaan sedar bahawa inovasi dan kreativiti adalah penting sebagai asas pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

"Cabaran-cabaran globalisasi, ekonomi dunia yang semakin kompetitif, perubahan iklim serta perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi telah merubah kaedah pengurusan dan cara bekerja serta memerlukan kita banyak berfikir dan bertindak dengan lebih cekap dan pantas," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga sedar bahawa untuk menjayakan agenda inovasi negara, inovasi seharusnya "dimasyarakatkan" dan programnya harus lebih praktikal demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

"Seiringan dengan itu, kerajaan telah menjadikan agenda inovasi nasional sebagai matlamat untuk menjana pertumbuhan baru dan melonjakkan ekonomi negara secara berganda bagi membentuk sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan Model Baru Ekonomi," katanya.

"Dengan semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama dengan kerajaan memacu penghasilan inovasi secara menyeluruh khususnya dalam bidang inovasi Islam yang amat signifikan dengan kedudukan Malaysia sebagai model negara Islam yang progresif di dunia," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, perkembangan sains dan teknologi berlaku dengan pantas dan negara-negara maju sedang giat memacu ekonomi berlandaskan inovasi.

Katanya mereka berlumba-lumba mengungguli kemajuan sains dan teknologi, meneroka bidang R&D dan menjadikan negara masing-masing lebih kompetitif di persada antarabangsa.

"Untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perlumbaan global ini, negara kita harus berada pada landasan yang betul dengan meletakkan inovasi sebagai pemacu transformasi ekonomi dan pentadbiran kerajaan," katanya.

Beliau berkata bagi merancakkan perkembangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran dan keupayaan inovasi yang lebih mantap. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain