suria

Mulai Tahun Ini Lt. Kolonel Mesti Pemegang Ijazah Sarjana

KOTA BAHARU: Sebagai persediaan menghadapi cabaran baru keselamatan negara dan peperangan moden menggunakan teknologi terkini, Semua permohonan baru bagi jawatan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mestilah berkelulusan universiti.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Bahagian Perkhidmatan Anggota ATM, Mej Jen Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, bagi jawatan lain-lain pangkat, kelulusan hendaklah kredit Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Negara kini berhadapan dengan peperangan secara moden dan persiapan kita memastikan setiap pegawai dan anggota mempunyai pengetahuan yang cukup dan canggih," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek Yayasan Warisan Perajurit (YWP) kepada anak-anak pegawai dan anggota yang berjaya dalam peperiksaan tahun lepas di sini, hari ini.

Abdul Aziz juga berkata, mulai tahun ini semua pegawai yang akan dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel ke atas hendaklah mempunyai ijazah sarjana daripada mana-mana universiti diiktiraf kerajaan.

"Bagaimanapun bagi pengambilan pegawai baru ditetapkan kepada penuntut lepasan Universiti Pertahanan Nasional (UPN) yang dididik sepenuhnya dengan peraturan ketenteraan kecuali di bidang-bidang tertentu yang memerlukan tenaga profesional," katanya.

Ke arah meningkatkan kecemerlangan pegawai tentera negara, beliau berkata UPN telah menubuhkan fakulti perubatan tahun ini bagi melatih pegawai perubatan sendiri yang mengikuti latihan ketenteraan dan akademik.

"Ini usaha kerajaan ke arah melahirkan pegawai perubatan sendiri yang mampu berhadapan dengan semua keadaan," katanya.

Pada majlis itu, Abdul Aziz menyerahkan cek kepada pegawai-pegawai memerintah batalion Lapan Briged Infantri mewakili 204 anak-anak tentera yang lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain