suria

Tuduhan Felda Bankrap Hanya Untuk Pancing Undi Peneroka : Yusof Noor

KUALA TERENGGANU: Tuduhan kononnya Felda bankrap ditimbulkan oleh pihak yang tidak bermoral bertujuan semata-mata ingin memancing undi masyarakat peneroka, kata pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Menurut beliau, tuduhan tidak bertanggungjawab itu turut memberi masalah kepada Felda sehingga terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada rakan niaga dari negara luar.

"Rakan niaga kita di luar negara dari India, Pakistan, China, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, bila dengar perkara demikian mereka rasa pelik, mereka bertanya. Jadi kita terpaksa jelaskan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata dakwaan kononnya Felda bankrap tidak benar sama sekali malah Felda kini antara agensi yang terbaik berbanding dengan organisasi lain.

"Pihak pengurusan tidak lihat penguncupan dalam pendapatan Felda. Pendapatan purata Felda untuk perniagaan teras kita iaitu sektor perladangan dan perniagaan lain yang memberi pendapatan tambahan yang dijalankan, terus mantap.

"Ingin saya jelaskan, Felda tak terjejas, malah kita semakin kuat dan kukuh daripada segi perniagaan dan juga reputasi," katanya.

Mohd Yusof berkata bukti terbaru Felda masih mantap ialah pembukaan sebuah lagi Felda Residence iaitu di Tanjung Leman, Johor, yang berharga RM32 juta, pada Disember ini.

"Ia dilengkapi 100 bilik yang boleh memuatkan 320 pengunjung. Kita tak buat saja-saja, ia beri peluang pekerjaan kepada warga Felda. Kalau kita tak ada duit, macam mana kita boleh buat semua ini," katanya.

Mohd Yusof berkata tuduhan sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan rakan niaga Felda dari negara luar hilang kepercayaan terhadap organisasi itu.

"Jika rakan kita di luar sudah hilang keyakinan pada kita, kesan buruknya kena pada peneroka Felda juga. Kalau rakan niaga kita lari, mereka ini yang perlu bertanggungjawab," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Pakej Felda D'Saji dan Bufet Ramadan 1431 Hijrah, dan Pakej Perkahwinan d'Muara Sungai Kuala Terengganu, bertempat di Felda Residence di sini.

Promosi Bufet Ramadan yang menawarkan lebih 88 jenis juadah bermula 11 Ogos ini dan tamat 7 Sept manakala D'Muara menawarkan pakej perkahwinan dan akad nikah serta pakej pertunangan, ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain