suria

Pemandu Van Sekolah Didakwa Rogol Anak Saudara, Pelajar

PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah tenang meskipun dihadapkan ke tiga buah mahkamah berbeza di sini pada Khamis, termasuk atas pertuduhan merogol anak saudara yang dipelihara isterinya.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh yang berusia 51 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol anak saudaranya yang telah kematian ibu sejak berusia enam tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2009 di sebuah rumah di Taman Medan, di sini semasa mangsa berusia sembilan tahun.

Pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Balqis Aini Mohd Ali selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan dan Fatimah Zahrah Ramli membantah jaminan diberikan kepada tertuduh kerana bimbang mangsa akan diganggu.

“Tertuduh dan mangsa tinggal di rumah yang sama,” kata Shah Rizal yang turut memohon mahkamah menimbangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Lim Sha Lee memohon jaminan dibenarkan dan memaklumkan bahawa tertuduh akan berpindah ke rumah baru di Taman Kinrara, Puchong, dekat sini manakala mangsa akan terus tinggal bersama isterinya.

Bagaimanapun Balqis Aini memutuskan tertuduh tidak diberikan jaminan sehingga dia dapat mengemukakan bukti rumah di Taman Kinrara seperti bil air, bil elektrik dan perjanjian sewa beli rumah pada tarikh sebutan akan datang.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa merangsang mangsa melakukan perbuatan kelucahan yang melampau pada 2009, di Taman Medan semasa mangsa berusia sembilan tahun.

Tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 377E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri di balai polis dan tidak menganggu mangsa.

Tertuduh yang bertubuh sederhana itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan atas tuduhan merogol seorang pelajar di dalam sebuah van sekolah bernombor pendaftaran NAD 1778.

Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa berusia sembilan tahun sembilan bulan pada 26 Julai lalu di Jalan Othman 1/12, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia juga mengaku tidak bersalah.

Hakim Rozina Ayob menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dengan syarat tertuduh atau ejen dilarang menganggu mangsa. Tertuduh juga dilarang meninggalkan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain