suria

Kerajaan Tidak Bercadang Tutup Sekolah Kurang Murid - Puad

BELAGA: Kerajaan tidak bercadang menutup sekolah kurang murid di negara ini, sebaliknya akan terus berusaha meningkatkan mutu dan pencapaian sekolah itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada rakyat.

"Kita mempunyai 2,420 sekolah seumpama itu, kebanyakannya di Sabah dan Sarawak dan di pulau-pulau," katanya kepada pemberita selepas melawat SK Airport dekat sini, satu daripada tujuh sekolah yang dilawati di pedalaman Bahagian Kapit, di sini, Khamis.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 63 peratus adalah sekolah kebangsaan, 21.4 peratus Sekolah Jenis Kebangsaan China, 13.5 peratus Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan selebihnya untuk masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap kegagalan beberapa kontraktor menyiapkan projek mereka mengikut jadual dan mereka yang tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.

"Saya kesal, umpamanya, kontraktor yang diberi tender membina asrama baru bernilai RM25 juta untuk SMK Belaga nampaknya tidak dapat menyiapkannya akhir tahun ini sebagaimana yang dijadual," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap mereka seperti menamatkan kontrak dan menyenaraihitam kontraktor terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohd Puad meminta badan korporat untuk menimbang mengambil murid-murid Penan dari sini sebagai anak angkat dalam usaha menggalakkan mereka menjadi pelajar cemerlang.

"Sebagai contoh, badan-badan korporat boleh membawa pelajar itu melawat institusi pendidikan tinggi untuk mendedahkan mereka kepada pendidikan tinggi, memberi ceramah kerjaya dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata cara itu boleh memberi galakan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran dan mengelakkan mereka daripada berhenti sekolah atau sentiasa tidak hadir ke sekolah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain