suria

Kanak-Kanak Perempuan Dijumpai Selepas Dua Jam Diculik

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilarikan seorang lelaki dengan sebuah kereta di Taman Meru di sini malam Rabu, ditemui selepas dua jam diculik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam ketika kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengaji di rumah jirannya.

"Seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta telah menghampiri kanak-kanak itu sebelum menarik mangsa masuk ke kereta," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Seorang jiran berkata adik lelaki mangsa berusia 9 tahun dan rakannya menyaksikan kejadian tersebut telah menjerit dan cuba mengejar kereta itu sebelum berpatah balik memaklumkan kepada guru mengajinya.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata beliau terus membuat laporan polis selain meminta bantuan daripada rakan-rakan supaya menyalurkan maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata anaknya itu ditarik oleh lelaki berkenaan ke dalam kereta selepas berpura-pura bertanyakan kedai untuk menambah nilai telefon bimbit.

Beliau bersyukur kerana anaknya terselamat dan berharap lelaki tersebut dapat diberkas bagi mengelak kejadian tersebut berulang kepada mangsa lain.

Azisman berkata mangsa ditemui di Taman Kinta, Gopeng pada pukul 10.45 malam tadi oleh seorang lelaki yang menghantarnya ke Balai Polis Gopeng.

Kawasan kanak-kanak itu ditinggalkan terletak kira-kira 45 kilometer dari Taman Meru.

Polis menghantar kanak-kanak itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan.

Azisman berkata polis masih memburu suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hijau dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat sebagai kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Penculikan 1961.

Minggu lepas di Kuala Kangsar, dua beradik berusia 16 dan enam tahun yang berada dalam kereta bapanya, dilarikan tiga lelaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 25 kilomter dari Kuala Kangsar.

Kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat manakala kereta bapanya dijumpai di Kelantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain