suria

DUN P. Pinang Bersidang November Ini

GEORGE TOWN: Mesyuarat kedua bagi penggal ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan Ogos ini telah ditunda kepada November depan.

Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain memberitahu Bernama di sini Khamis, ekoran penundaan itu, mesyuarat DUN bagi tahun ini cuma diadakan sebanyak dua kali sahaja.

Katanya, penundaan mesyuarat itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang masalah kerana dalam peraturan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri, mesyuarat DUN hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh setahun.

"Mesyuarat DUN hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun dan kerajaan negeri memutuskan untuk mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali sahaja pada tahun ini walaupun pernah mengadakannya sebanyak tiga kali sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, penundaan itu juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri terus membentangkan Bajet Pulau Pinang 2011 dalam sidang berkenaan.

Abdul Halim berkata, sidang DUN itu akan berlangsung selama enam hari iaitu bermula pada 1 Nov dan dua hari kemudian iaitu dari 3 Nov ditangguhkan selama seminggu untuk perayaan Deepavali dan Aidiladha sebelum disambung semula dari 9 hingga 12 November.

"Penangguhan antara 3 hingga 8 November itu adalah sempena musim perayaan Hari Raya Aidil Adha dan juga Deepavali", kata beliau.

Mengenai perkembangan kes ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim yang kini dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Abdul Halim berkata Azhar akan dipanggil untuk memberi keterangannya pada 17 Ogos ini.

Katanya, selepas mengambil keterangan Azhar, jawatankuasa berkenaan akan menyediakan satu laporan untuk dibentangkan pada sidang DUN November depan untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, Azhar masih boleh menghadiri sidang DUN pada November depan dan sebarang keputusan mengenai tindakan terhadapnya hanya akan ditentukan kemudian setelah laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dibentangkan.

Azhar didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbau hasutan ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng pada sidang DUN lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain