suria

Dua Guru Maut Dalam Kemalangan Di Batu Anam

SEGAMAT: Dua guru wanita, seorang daripadanya sarat mengandung terbunuh selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta Kia Spectra di KM202.6, Jalan Segamat-Gemas dekat Batu Anam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Abdul Majid Mohd Ali berkata kemalangan pada kira-kira pukul 7 pagi itu menyebabkan Cheng Lee Sei, 31, yang sedang mengandung lapan bulan dan rakannya, Lee Pei Ling, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Yang cedera pula ialah seorang lagi guru yang turut menaiki Perodua Viva itu, Sia Yoke Peng, 27, dan pemandu Kia Spectra berkenaan, Em Kai Doon, 25," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kemalangan berlaku semasa semua guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gemas Baru, Negeri Sembilan itu dalam perjalanan ke sekolah berkenaan, apabila kereta mereka dirempuh sebuah kereta Kia Spectra yang dalam perjalanan dari Gemas ke Batu Anam, dari arah bertentangan.

Katanya ketiga-tiga guru wanita yang tinggal di sekitar bandar Segamat itu berkongsi kereta untuk ke sekolah dengan Cheng memandu kereta itu, Lee duduk di bahagian belakang manakala Sia duduk di bahagian sebelah pemandu.

Abdul Majid berkata Sia kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu manakala Em dirawat di Hospital Melaka, dan menurutnya polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain