suria

Sasaran 30 Peratus Anggota Rela Bukan Melayu Tercapai

BACHOK: Anggota Relawan Rakyat (Rela) kini mempunyai 30 peratus anggota baru bukan Melayu daripada 1.3 juta anggota di dalam pasukan itu sekaligus mencatat kejayaan untuk menarik lebih ramai golongan itu terlibat dalam pasukan sukarela.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada belia Cina dan India dari negeri-negeri pantai barat Semenanjung.

"Keseluruhan masyarakat Cina dan India yang mendaftar sebanyak 20 peratus tetapi di negeri-negeri tertentu golongan terbabit telah menyertai pasukan ini sehingga 25 atau 30 peratus," katanya kepada Bernama selepas majlis meraikan Jelajah Rela 1Malaysia Kelab Motosikal Besar Rela di sini, malam Rabu.

Zaidon berkata, beliau mensasarkan 2.5 juta ahli terutama belia yang berusia antara 16 dan 40 tahun terlibat dengan pasukan Rela di seluruh negara sebelum akhir 2012 sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memastikan lebih ramai belia terlibat dengan Rela.

Beliau berkata, kempen besar-besaran mendaftar ahli baru dilakukan antaranya menganjurkan program Jelajah Rela 1Malaysia oleh Kelab Motosikal Besar Rela diketuai Presiden Kelab itu Datuk Abdul Rahman Jaafar.

"Mereka akan berada di kampung-kampung bagi mendekati golongan sasar termasuk Mat Rempit dan Mat Lepak dan ini membolehkan golongan itu tertarik untuk menyertai Rela," katanya.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, sepanjang program yang berakhir 9 Ogos ini di Putrajaya, mereka akan melakukan kerja-kerja amal termasuk membersih tanah perkuburan, mengecat rumah dan mengadakan lawatan ke rumah-rumah orang kurang upaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain