suria

Rakyat Thailand Ditahan Seludup Daun Ketum

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP)menahan seorang lelaki warga Thailand kerana dipercayai cuba menyeludup keluar kira-kira 20kg daun ketum di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.

Komander UPP Mohd Zunaidi Abdullah berkata beliau bersama enam anggota bertindak menahan lelaki berumur 30-an itu kira-kira 12 tengah hari ini setelah menerima maklumat awam.

"Semasa menahan kereta Mitsubishi Lancer bernombor pendaftaran Thailand milik suspek, dia tidak membuka tingkap sebaliknya terus membuka pintu dan dia kelihatan menggelabah," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, mereka menjumpai sekeping pas perjalanan sempadan dan juga beratus-ratus bungkusan daun ketum, yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar dan diletakkan di sisi keempat-empat pintu kereta itu.

"Selain itu, kami juga menjumpai banyak lagi bungkusan daun ketum yang disorok di tempat letak tayar simpanan dalam but kenderaan. Setiap bungkusan mengandungi kira-kira 40 helai daun ketum," katanya sambil menambah keseluruhan berat daun ketum itu kira-kira 20kg.

Mohd Zunaidi berkata siasatan ke atas lelaki tersebut mendapati daun ketum itu dibeli di Kodiang dekat sini dengan harga pasaran di sini kira-kira RM24 sekilogram manakala pasaran di Thailand menjangkau RM80 sekilogram.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa Thailand juga mengaku pernah menyeludup daun ketum sebanyak lima kali sebelum ini dan turut memberitahu bahawa penyeludupan daun ketum merupakan kerja sampingannya," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain