suria

Puteri Umno Mahu "Sekolah Pelajar Hamil" Peringkat Nasional

PAPAR: Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata konsep sekolah khas untuk pelajar hamil yang dicadangkan oleh kerajaan Melaka harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata remaja seperti ini seharusnya diberi peluang kedua supaya negara tidak kehilangan generasi yang berpotensi untuk menjadi berguna dan menyumbang kepada pembangunan negara nanti.

"Kita harus terbuka kepada hal ini, ada berlaku gejala sosial seperti ini dan salah satu usaha kita dalam memberi ruang kepada mereka, ialah mewujudkan institusi yang tersendiri supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran.

"Mereka ini masih boleh kita didik dan berikan pendedahan supaya mereka menjadi satu golongan yang boleh menyumbang kembali kepada negara. Kita seharusnya ambil cadangan Melaka ini dan diadaptasi di peringkat nasional supaya setiap negeri ada sekolah (sedemikian)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan dan penyerahan wang zakat serta penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Papar di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai persepsi negatif beberapa pihak terhadap cadangan penubuhan sekolah itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata mentaliti bahawa langkah sedemikian menggalakkan aktiviti gejala sosial tidak harus timbul lagi kerana ini merupakan realiti yang berlaku di negara ini dan tindakan sewajarnya harus diambil untuk menangani masalah ini.

"Kita harus menimbang dari segi kejadian pembuangan bayi yang telah berlaku. Apa salah kita guna sekolah ini untuk beri tempat, beri ruang kepada mereka mengadu. Mereka boleh ke sekolah ini untuk menyelamatkan diri daripada terus terjerumus dengan gejala sosial," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain