suria

Polis Serdang Tahan Dua Pengedar Dan Rampas RM60,000 Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar serta merampas dadah bernilai hampir RM60,000 dalam dua operasi berasingan di Puchong dan Bandar Sunway semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supritendan Abdul Razak berkata dalam operasi pertama, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Kancil di sebuah pangsapuri di Bandar Puchong Jaya.

"Dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu, kami memeriksa sebuah beg yang disembunyikan di dalam kereta milik suspek terbabit dan menemui 19 paket lutsinar berisi dadah jenis heroin dan sebungkus dadah jenis ganja seberat 20 gram."

"Turut ditemui ialah tiga plastik dadah jenis syabu seberat tiga gram dan wang tunai sebanyak RM8,490," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki yang merupakan rakan kepada suspek terbabit di Bandar Sunway.

Menurutnya lelaki berumur 33 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan sambil membawa sebuah beg hitam dan hasil pemeriksaan polis menemui satu paket dadah jenis heroin seberat 450 gram.

Abdul Razak berkata siasatan lanjut mendapati kesemua dadah yang dirampas daripada kedua-dua lelaki itu bernilai hampir RM60,000 dan kedua-dua suspek dipercayai telah aktif mengedar dan menghisap dadah sejak setahun lepas di mana suspek pertama pernah mempunyai rekod terlibat dalam jenayah dadah sebelum ini.

Kedua-dua suspek yang merupakan pengganggur ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan, katanya.

Beliau berkata ini merupakan kes pertama melibatkan jenayah dadah berjaya dibanteras sejak penubuhan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang 20 hari lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain