suria

Pemuda Umno: Saman Ekor Perlu DiKaji Semula Kerana Tak Adil Untuk Pengusaha

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan menghapuskan terus saman ekor kerana ia dilihat sebagai satu hukuman yang tidak adil dan membebankan pengusaha pengangkutan awam di negara ini.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, konsep saman ekor yang dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep keadilan sosial kerana denda tersebut perlu dibayar oleh pengusaha syarikat pengangkutan awam dan bukannya oleh pemandu yang melakukan kesalahan tersebut.

"Saya melihat saman ekor ini bukan sahaja membebankan pemilik kenderaan malah pengusaha-pengusaha pengangkutan awam di negara ini.

"Saman ekor ini turut memberi implikasi yang buruk kerana rakyat menerima banyak saman hingga menyebabkan cukai jalan dan lesen memandu tidak boleh diperbaharui kerana nama mereka telah disenaraihitam sedangkan mereka tidak mengetahui mengenai saman ekor yang dikenakan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan 14 pengusaha bas dan teksi di Menara Dato' Onn pada Rabu.

Beliau berkata demikiam sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencadangkan agar kerajaan menyemak semula saman ekor dan mengkaji semula keputusan kerajaan untuk tidak mengurangkan kadar kompaun saman terhadap pesalah trafik.

Mengulas lanjut, Khairy berkata saman ekor yang dikenakan bukan sahaja daripada Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia malah Pihak Berkuasa Tempatan juga turut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan saman sedemikian.

"Saman ekor ini umpama menghukum pengusaha syarikat sebelum didapati bersalah. Sepatutnya polis memberi saman terus kepada pemandu pada masa dia melakukan kesalahan cara itu lebih baik dan bukannya menghukum syarikat pengusaha dengan bebanan saman ekor ini," katanya lagi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, saman ekor ini akan menyebabkan pengusaha pengangkutan awam gulung tikar kerana tidak mampu membayar jumlah saman yang terlalu tinggi.

"Lebih memburukkan keadaan lagi, saman ekor ini diperoleh selepas tiga hingga empat bulan daripada kesalahan yang dilakukan, jadi pengusaha sukar untuk mengenalpasti pemandu yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau menegaskan, Pemuda Umno bukan mahu menentang undang-undang sedia ada sebaliknya mereka mahu kerajaan melihat semula saman ekor dan menghapuskannya dalam masa terdekat kerana ia tidak adil kepada pengusaha syarikat pengangkutan awam dan pemilik kenderaan.

"Kita setuju sekiranya saman itu diberikan terus kepada pemandu ketika dia didapati bersalah dan bukannya saman ekor.

"Kesimpulannya sistem ini cukup tidak adil dan ia perlu dihapuskan segera," katanya.

Jelasnya lebih memburukkan keadaan adalah musim perayaan semakin hampir, sudah tentu perkara tersebut akan membebankan ramai pemilik kenderaan yang terpaksa membayar saman apabila mahu memperbaharui cukai jalan dan sebagainya.

"Ini seolah-oleh menghukum pemilik kenderaan sebelum dibuktikan bersalah," katanya sambil menambah satu sistem yang lebih adil perlu diwujudkan bagi mengelakkan masalah aliran kewangan syarikat pengusaha pengangkutan awam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Melayu Semenanjung (Pembawa) Tajuddin Yunus berkata, saman seharusnya dikeluarkan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

Katanya, saman serta-merta lebih adil dan memberi kesan minimum kepada pengusaha, selain mampu menjadikan pemandu atau pengguna jalan raya lebih berhemah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain