suria

Muhyiddin Bidas Tindakan Pembangkang Buat Kecoh Sidang DUN Perak

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas tindakan pakatan pembangkang yang terus menimbulkan kekecohan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata perbuatan pembangkang itu menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati sistem kehakiman negara yang sebelum ini, membuat keputusan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri berkenaan.

"Perkara ini seharusnya tidak timbul lagi. Mereka harus menghormati ketertiban dalam DUN. Bila speaker kata berhenti...jangan buat.

"Apa jua pangkat, jawatan dalam dewan, kita sama saja. Kita kena patuh. Jadi bila dia tak mematuhi, kita ada hak mengambil tindakan untuk menyingkirkan...mengeluarkannya.

"Sepatutnya dia menghormati sistem demokrasi berparlimen...kita ada undang-undang. Apakah ini membuktikan Pakatan Rakyat memang tidak akan menghormati keputusan mahkamah?," soalnya.

Beliau diminta mengulas mengenai sidang DUN Perak semalam, yang kecoh berikutan tindakan pembangkang "menyerang" wakil kerajaan negeri hingga menyebabkan Speaker, Datuk R.Ganesan terpaksa menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tindakan itu diputuskan Ganesan selepas Mohammad Nizar enggan berhenti daripada membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun tempoh 15 minit diperuntukkan kepadanya tamat.

Ganesan, sebelum itu beberapa kali meminta Mohammad Nizar duduk tetapi tidak diendahkan menyebabkan Speaker membuat keputusan tegas itu selepas kesemua 32 wakil Barisan Nasional (BN) dan Bebas bersetuju dengan usul yang dibawa Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mempersoalkan nilai moral pemimpin pembangkang.

"Apakah mereka tiada nilai moral yang agak tinggi. Apakah itu menunjukkan lemah pendirian mereka atas soal prinsip seperti ini. Perkara ini sepatutnya boleh dinilai oleh rakyat," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain