suria

Marilah Kita Kenang Segala Memori Yang Baik Tentangnya...

KHABAR yang kita terima mengenai kematian bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, bersama Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Siti Rohana Ismat, 43, pada pagi Selasa bukan sahaja sukar untuk dipercayai tetapi tidak dapat diterima oleh akal dan kewarasan sesiapa sahaja yang mengenalinya termasuklah penulis sendiri.

Apatah lagi dalam hal ini, penulis dan ramai kawan sama-sama mengenali Allahyarham termasuklah wartawan veteran seperti Rosli Ismail dari Agenda Daily untuk sekian lamanya. Kami juga mengenali anaknya, Mohd Anis yang merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia secara peribadi.

Anis sepertimana Allahyarham bapanya, juga seorang yang baik budi dan menghormati orang. Berat untuk kita memahami apa yang telah berlaku, berat lagi kesengsaraan dan kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh Anis dan saudara maranya. Anis sebagaimana yang semua orang kenali sangat rapat dengan Allahyarham bapanya itu. Malah mereka bekerja di tempat yang sama.

Dan Anis adalah satu-satunya anak yang mengikuti jejak langkah Allahyarham bapanya berkecimpung dalam politik. Kepada Anis, penulis ingin merakamkan ucapan takziah dan mendoakan agar beliau diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi. Sudah pastinya Allah ingin menguji dirinya sebagai seorang pemimpin dan hambaNya yang soleh.

Kedua-duanya mudah mesra bak kata Rosli Ismail; “bila Pak Aziz bercakap dengan seseorang, seolah-olah dia telah mengenali orang itu lebih dari sepuluh tahun.”

Begitulah ramahnya Allahyarham dengan siapa sahaja dan untuk seketika, kami berbual mengenai Allahyarham dan mengenang kembali dirinya yang peramah, ceria, tidak pernah meninggi diri lebih-lebih lagi meninggikan suara kepada orang lain. Dia sentiasa membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ atau ‘uncle’ dan bukannya ‘datuk’ sepertimana sesetengah orang.

Sesekali beliau akan menelefon dan bertanya khabar dan kalau bertemu dalam majlis-majlis politik, beliau tidak lokek memanggil kami untuk duduk semeja dan bersembang mengenai pelbagai perkara dari politik sehinggalah kepada isu-isu lain.

Ketika penulis berkhidmat dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ada beberapa kali penulis bertemu dengan Allahyarham dalam majlis-majlis politik khususnya apabila menteri penulis turun ke Negeri Selangor dan setiap kali bertemu, beliau akan merujuk penulis sebagai wartawan Utusan Malaysia yang beliau kenali dulu.

Dan sebaik sahaja penulis sms Khaled memaklumkan kematian mengejut Allahyarham dalam satu insiden yang sangat menyayatkan hati, Khaled sendiri seperti sukar untuk mempercayainya lebih-lebih Khaled mengenali Allahyarham sejak beliau berkhidmat sebagai setiausaha sulit Datuk Seri Abu Hassan Omar di pelbagai kementerian sebelum dilantik sebagai setiausaha politik beberapa tahun kemudian.

Hakikatnya bukan Khaled seorang tetapi semua orang politik yang mengenai Allahyarham dan juga para wartawan yang pernah mendampingi beliau sukar untuk menerima hakikat kematiannya dalam keadaan yang sangat tragis itu.

Menurut polis, hasil bedah siasat mendapati Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan di kepala manakala Aziz pula dengan satu kesan tembakan juga di kepala. Kebanyakan yang hadir ke majlis pengebumian Aziz berkata, mengenali Aziz, mereka tidak percaya ada orang yang mahu membunuhnya apatah lagi untuk dia mengambil nyawa di tangannya sendiri.

Tetapi Ketua Polis Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan hasil penemuan bedah siasat tersebut dan siasatan awal polis lebih menjurus ke arah kejadian yang kita semua enggan mempercayainya iaitu bunuh dan membunuh diri.

Beliau juga mengesahkan, hasil keterangan saksi yang sempat menyaksikan kejadian itu, tidak ada pihak ketiga terlibat dalam kejadian tersebut. Sebaliknya polis menemui sepucuk pistol revolver .38 dengan tiga butir peluru masih berada di dalam kelongsong.

“Hasil siasatan kita mendapati hanya mangsa sahaja yang berada di dalam kereta ketika kejadian itu berlaku dan perkara ini disahkan oleh para saksi yang melihat kejadian itu. Bagaimanapun, untuk tujuan penyiasatan kami akan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh dan pihak polis telah menghantar revolver tersebut ke makmal Jabatan Kimia untuk ujian balastik,’’ katanya.

Katanya lagi, kereta yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa ketika ditemui tersadai di laluan laju (sebelah kanan) di kilometer 455.7 Lebuh Raya Lembah Klang Utara berdekatan Sg Buloh pada lebih kurang jam 11 pagi Selasa.

Abdul Aziz terpilih sebagai ADUN Permatang pada pilihan raya 2004 selepas berkhidmat untuk sekian lama dengan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar selaku setiausaha politik dan sebelum itu sebagai setiausaha sulit dan pegawai khas sewaktu Abu Hassan menjadi menteri. Beliau berhenti pada tahun 2001 selepas isu kontroversi peletakan jawatan Abu Hassan sebagai menteri besar.

Abu Hassan menyifatkan Abdul Aziz sebagai seorang yang ceria, lemah lembut dan tidak pernah bercakap kasar dengan orang. Beliau akan dikenang sebagai seorang operator politik yang sentiasa bekerja di belakang tabir dan tidak suka berada di barisan hadapan. mStar Online difahamkan, Allahyarham mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Abu Hassan.

Kejadian ini tidak dapat mengelak pelbagai pihak daripada terus membuat spekulasi, andaian serta teori. Hakikatnya, tidak ada siapa pun yang tahu apa yang sebenarnya terjadi sehingga membawa kepada kematian Pak Aziz dan Siti Rohana. Hanya tuhan sahaja yang maha mengetahui dan menyaksikan kejadian itu.

Tetapi marilah kita semua mengingati Allahyarham sebagai seorang teman yang kita sama-sama kenali dari dulu sehinggalah sekarang. Janganlah kejadian tragis ini memadamkan segala memori dan kebaikan yang telah beliau sumbangkan kepada negara, negeri, parti dan juga masyarakat.

Setiap kejadian yang berlaku merupakan teladan kepada yang masih hidup. Itulah yang penting untuk sama-sama kita kutip sebagai iktibar kehidupan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain