suria

Lelaki Geng Pecah Rumah Dan Curi Dalam Kenderaan Ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi dan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah di sini serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM10,000 semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner (ACP) Azman Abd Lah berkata bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah suspek di Permatang Pasir dan menahan lelaki yang berusia 20-an pada 7 pagi semalam.

"Antara barangan yang dirampas dalam rumah itu ialah sembilan komputer riba, kamera digital dan pemain cakera padat, siasatan mendapati sebahagian daripada barangan yang kita rampas itu merupakan barang curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan melakukan kegiatan jenayah secara berkumpulan dan polis kini sedang giat mengesan saki baki kumpulan terbabit.

Katanya lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Azman berkata polis juga menahan empat wanita warga asing dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat seks di Taman Perwira Indah, Bukit Tengah di sini dalam satu serbuan dua hari lepas.

"Susulan serbuan itu polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Minyak dan menahan tiga wanita warga asing kerana menjalankan pelacuran," katanya.

Katanya kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 25 tahun itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Dalam dua serbuan itu polis turut menahan dua lelaki tempatan yang menjaga rumah berkenaan, katanya.

"Polis percaya sindiket pelacuran berkenaan menggunakan taktik baru dengan menggunakan kawasan perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain