suria

Kes Positif H1N1 Meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit yang disahkan menghidap influenza A(H1N1) meningkat kepada 48 kes bagi tempoh 25 hingga 31 Julai lepas, berbanding 41 kes pada minggu sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah sebanyak 15,469 dengan jumlah kematian kekal 92 orang.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama, lima kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) dilaporkan, membabitkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Bukit Kayu Hitam dan Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra di Kedah serta Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Seksyen 17, Shah Alam di Selangor.

Sekolah lain yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Kuala Kangsar dan Asrama Perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Iskandar Shah, Parit, kedua-duanya di Perak.

Selain itu, bilangan pesakit baru dengan simptom ILI yang dimasukkan ke hospital mencatatkan penurunan sebanyak 15.4 peratus iaitu 454 kes berbanding 537 pada minggu sebelumnya.

Baki kes yang masih dirawat di seluruh negara sehingga 31 Julai adalah sebanyak 283 di 60 hospital, termasuk sembilan hospital swasta.

"Daripada jumlah itu, hanya 28 pesakit atau 9.9 peratus disahkan positif H1N1 melalui ujian makmal, juga terdapat tujuh kes H1N1 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan lima daripadanya individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata sehingga 30 Julai lepas, sebanyak 98.07 peratus vial vaksin H1N1 telah digunakan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima ialah 371,277 orang.

Jumlah itu meliputi 99,632 petugas barisan hadapan kementerian, 95,161 petugas hadapan bukan kementerian seperti polis, tentera, imigresen dan agensi lain serta 176,484 orang dari kumpulan sasar berkeutamaan.

"Untuk makluman, vaksin H1N1 telah habis atau hampir habis di kebanyakan negeri kecuali Johor, yang masih mempunyai lebih kurang 3,000 dos baki vaksin," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan wabak influenza A (H1N1) masih aktif dan mereka perlu sentiasa berwaspada serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain