suria

Kepala Surat: Ronnie Liu Gesa SPRM Segera Siasat

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, Selasa, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dakwaan penyalahgunaan kepala surat dan cop rasmi miliknya oleh ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock.

Menurut Liu, beliau sedia disiasat oleh suruhanjaya berkenaan bagi membersihkan kewibawaannya berikutan tuduhan pelbagai pihak yang mengaitkan namanya disebalik tindakan Tee.

"Saya tahu ramai yang tuduh saya terlibat atau berada di belakang Tee walaupun semua itu tidak benar, sebab itu saya rela disiasat oleh mana-mana pihak termasuk SPRM.

"Mana-mana pihak yang nak siasat, saya akan beri kerjasama tak kiralah sama ada polis, Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor) ataupun SPRM... saya alu-alukan," katanya kepada mStar Online di sini pada Selasa.

Semalam (Isnin), Liu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam terhadap penyalahgunaan kepala surat dan cop rasminya.

DAP Selangor mengambil keputusan memecat Tee pada hari Sabtu selepas dia didapati menyalahgunakan kepala surat milik Liu bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.

Tee, yang masih berkhidmat sebagai ahli MPK bagi penggal kedua, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Dia yang pernah menjadi pembantu khas kepada Liu menafikan berbuat demikian sepanjang mewakili Liu di kawasannya.

Tee menjadi pembantu khas kepada Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Negeri Selangor dari Mac 2008 hingga 18 November 2009.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Khairy Jamaluddin yang melabel beliau sebagai 'Giant Napoleon', Liu berkata Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) itu tidak memahami struktur pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, dakwaan yang mengatakan beliau lebih berkuasa berbanding Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah tidak berasas.

"Dia tak pernah jadi exco dan tak pernah jadi Menteri Besar, sebab itu dia tak faham macam mana kami berfungsi.

"Mana ada exco yang lebih berkuasa daripada Menteri Besar, kami ahli exco hanya boleh beri cadangan dan pandangan... keputusan akhir terletak di tangan Menteri Besar sendiri," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain