suria

Indeks Jenayah P. Pinang Turun 18 Peratus

GEORGE TOWN: Indeks jenayah di Pulau Pinang menurun 18 peratus dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob hari ini. Beliau berkata pelaksanaan konsep 'polis turun padang' di bawah enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menyumbang kepada penurunan itu.

"Di bawah konsep ini, anggota dan pegawai polis yang menjalankan tugas pejabat juga dikehendaki membuat rondaan. 'Ops Payung' juga telah diperkenalkan, manakala Pondok Polis pula dibuka bagi meningkatkan kehadiran polis di tempat awam," katanya selepas merasmikan Pondok Polis Jalan Chulia di sini.

Beliau berkata kehadiran lebih banyak anggota polis di tempat awam meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan itu.

"Di samping itu, memahami keperluan dan hasrat masyarakat tempatan menjadi kunci utama kejayaan polis dalam menurunkan indeks jenayah di negeri ini," katanya.

Ayub berkata beliau yakin sasaran untuk mencapai penurunan 20 peratus indeks jenayah di negeri ini pada akhir 2010, akan tercapai.

"Kami telah mengambil pelbagai inisiatif untuk berdamping lebih rapat dengan masyarakat dan antaranya ialah kepolisan masyarakat. Saya ingin menggesa agar lebih banyak anggota masyarakat menyertai dan berkomunikasi dengan polis kerana kami mahu orang ramai tahu bahawa polis sentiasa prihatin terhadap jenayah di kawasan mereka," katanya.

Ayub juga mengumumkan bahawa Polis Pulau Pinang menerima peruntukan RM17 juta untuk melaksanakan kegiatan membanteras jenayah.

"Saya akan pastikan peruntukan yang diberi di bawah inisiatif NKRA ini akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai kegiatan ke arah memastikan sasaran itu tercapai," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain