suria

Bomba Bakal Terima 67 Jentera, 200 Bot Tahun Ini

LANGKAWI: Jabatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima 67 jentera dan 200 bot penyelamat buatan tempatan pada tahun ini bagi meningkatkan kemampuan mereka menghadapi bencana serta operasi lain.

Ketua Pengarahnya Datuk Hamzah Abu Bakar berkata bot penyelamat itu akan diagihkan kepada semua negeri yang masing-masing akan menerima antara lapan dan 10 unit.

Jabatan juga telah menerima dua buah helikopter jenis Augusta AW 139 buatan Itali berharga RM100 baru-baru ini menjadikan jumlah keseluruhan lapan buah, katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia, di sini hari ini.

"Buat masa ini pesawat 12 tempat duduk itu sedang dalam penilaian semula dan diuji sebelum ditempatkan di Bertam, Pulau Pinang tidak lama lagi untuk operasi kecemasan mencari dan menyelamat," katanya.

Katanya helikopter yang diterima Jun lepas akan digunakan secara bergilir-gilir untuk tugasan panggilan kecemasan.

Mengulas perkembangan lain, Hamzah berkata jabatan itu dalam proses mengisi perjawatan baru yang diluluskan sebanyak 1,709.

"Ini memberi peluang kepada pegawai bomba untuk meningkatkan kerjaya masing-masing dan peluang kenaikan pangkat," katanya.

Beliau berkata jabatan itu juga sedang meningkatkkan kemahiran pegawai dan anggotanya dengan menghantar mereka mengikuti latihan di pusat latihan bomba di Perak membabitkan mereka yang bertugas di Kedah, Perlis, Pulau Pinang serta Perak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain