suria

Rogol Anak Kandung: Lelaki Mengaku Tidak Bersalah

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun, tujuh tahun lalu.

Pengakuan bapa berusia 55 tahun itu direkodkan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 8 malam, Jun 2003 di sebuah rumah di Kebun Bumi Hijau, Kundang, Rawang di dalam daerah Gombak, dekat sini.

Tertuduh yang berkulit sawo matang ditangkap pada 23 Julai lalu selepas anaknya membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalhana Mohammed mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Latifah membenarkan permohonan Akmalhana yang tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 13 September depan sebagai sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Artikel Lain