suria

Mayat Wanita Filipina Ditemui Dengan Kesan Cekik Di Bilik Hotel

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga Filipina yang dipercayai mangsa pembunuhan, ditemui dengan kesan cekik pada lehernya di sebuah hotel di Pandan Perdana dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata mangsa yang dikenali sebagai Salazar, 20, ditemui dalam bilik itu kira-kira 2 petang oleh seorang pekerja hotel berkenaan.

"Tukang cuci itu menghidu bau busuk dalam bilik dan menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap terbaring atas lantai di bilik hotel sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata wanita itu dipercayai telah mendaftar masuk ke bilik hotel itu bersama teman lelakinya yang juga warga Filipina sejak Sabtu lepas kira-kira pukul 1.45 petang.

"Siasatan awal mendapati tidak terdapat kecederaan di bahagian luar badan namun terdapat kesan cekik pada leher mangsa.

"Hasil pemeriksaan ke atas biliknya, kami menemui resit pembelian telefon bimbit dalam tong sampah, kesan air mani di atas tilam dan enam ulas buah nangka di atas meja," katanya.

Abdul Jalil berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijangka diperoleh pagi esok dan polis giat menjalankan usaha menjejaki teman lelaki wanita itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain