suria

Makmal Transformasi Pembangunan Belia Ditubuhkan

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia bagi menyelaras program pembangunan belia di antara kementerian dan agensi yang berkaitan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penubuhan makmal itu juga bagi memberi tumpuan kepada kelompok belia yang lebih besar di negara ini iaitu Generasi Y, berumur antara 10 dan 28 tahun, seramai 9.4 juta orang.

Katanya makmal itu akan melakukan kajian mengenai program pembangunan belia yang perlu dilaksanakan yang akan dibentangkan kepada mesyuarat itu dalam tempoh enam hingga lapan minggu.

"Pihak Kementerian Belia dan Sukan akan berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengenai perkara itu.

"Mereka yang mengambil bahagian dalam makmal itu, selain daripada wakil kementerian dan agensi, pemimpin-pemimpin muda belia, yang boleh berbincang dan mengeluarkan pandangan dan idea," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di sini pada Selasa.

Muhyiddin berkata pada hari ini, terdapat tiga kategori kelompok belia iaitu boomers, mereka yang dahulunya belia, tetapi kini dalam kelompok bukan belia, berumur antara 46 dan 64 tahun dan jumlahnya 4.95 juta orang.

"Kedua ialah Generasi X, belia berumur antara 29 dan 45 tahun, seramai 3.7 juta orang dan ketiga serta yang terbesar, Generasi Y, berumur antara 10 dan 28 tahun, membabitkan jumlah 9.4 juta orang," katanya.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa hari ini memutuskan untuk memberi perhatian kepada kelompok itu yang lebih besar berikutan sebahagian daripada mereka itu tidak berpersatuan.

"Ia merupakan satu kelompok yang citarasa mereka berubah mengikut perubahan teknologi.

"Dan mereka ada naluri untuk mencuba sesuatu perkara. Oleh sebab itu, kita berpendapat, apapun progam yang dirancang untuk pembangunan belia, ia mesti mengambil kira perubahan mindset generasi Y," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain