suria

Bekalan Gula Untuk Hari Raya Di Labuan Mencukupi

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini memberi jaminan bekalan gula untuk kegunaan pengguna di Labuan sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.

Malah, kata Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe, berdasarkan pemeriksaan yang dibuatnya di gudang penyimpanan bahan itu di sini, bekalan mlebihi keperluan.

"Keperluan gula untuk penduduk Labuan adalah kira-kira 186,000 metrik tan berbanding dengan bekalan gula yang ada sekarang kira-kira 250,000 metrik tan," katanya kepada pemberita di sini.

Justeru katanya, penduduk pulau itu tidak perlu risau dengan bekalan gula dan menasihati pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana pihaknya akan mengambil langkah bagi mempastikan bekalan yang berterusan.

"Kita meramalkan keperluan gula dalam masa terdekat ini akan meningkat, namun dengan kerjasama semua pihak termasuk dengan mengurangkan penggunaan gula jumlah bekalan akan dapat dikawal," katanya.

Mengulas isu berlainan, beliau meminta agensi berkenaan agar meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dari Labuan ke tanah besar Sabah khususnya melibatkan minuman keras dan rokok.

Beliau berkata, kegiatan itu didapati masih berleluasa dan jika dibiar berterusan akan merugikan negara daripada segi kutipan cukai. - BERNAMA

Artikel Lain