suria

Rakyat Iran Terbabit Lagi, Guna Pula Kargo Udara

KUALA LUMPUR: Trend terbaru sindiket pengedaran dadah antarabangsa kali ini menggunakan kargo udara dikesan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas kelmarin dan merampas syabu seberat 113 kg bernilai RM24.86 juta.

Dalam serbuan di rumah mewah semi-D itu kira-kira pukul 3 petang, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun dan seorang warga Iran berumur 26 tahun yang yang dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah ke dalam negara ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata hasil siasatan di dalam rumah tersebut, polis menemui lapan silinder yang setiap satu silinder mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu seberat 14 kg setiap satu.

"Silinder yang diisytiharkan sebagai bungkusan ais semasa diperiksa kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Sepang, tiba pada 30 Julai lepas," katanya sambil menambah bahawa operasi itu turut mendapat kerjasama Biro Narkotik Pusat Singapura.

Beliau berkata wang tunai milik warga Iran berjumlah RM260,000 dan sebuah kereta Mercedez Benz E250 yang dipercayai baru sahaja dibelinya bernilai RM550,000 turut dirampas dalam serbuan rumah mewah yang disewakan sebanyak RM13,000 sebulan itu.

Polis percaya dadah tersebut untuk pasaran antarabangsa dan tempatan.

"Kita akan menyiasat penglibatan lelaki tempatan itu dengan suspek warga Iran tersebut. Kita juga dalam siasatan bagi mengesahkan kargo itu dari negara mana. Saki baki anggota sindiket terbabit sekiranya ada akan ditahan ," katanya.

Othman berkata pihaknya juga akan menyiasat tempoh penglibatan sindiket terbabit serta kaitannya dengan satu lagi serbuan yang turut melibatkan warga Iran di sebuah rumah di Kepong pada 22 Julai lepas.

Beliau berkata penglibatan warga Iran yang ditahan dalam serbuan-serbuan sebelum ini menunjukkan mereka bukan sahaja menjadi kurier tetapi turut menjadi anggota sindiket.

"Kita lihat warga Iran bukan sahaja terlibat dalam sindiket, ada yang terlibat sebagai kurier. Kurier ini pun turut terbabit dalam sindiket tetapi tidak secara langsung dan mereka dibayar," katanya.

Beliau berkata warga Iran dan lelaki tempatan yang tidak mempunyai rekod lampau itu ditahan reman sehingga 7 Ogos bagi membantu siasatan.

Othman menjelaskan tangkapan warga Iran yang menjadi dalang dalam sindiket pengedaran dadah di negara ini menunjukkan peningkatan apabila seramai 108 orang termasuk 13 wanita ditahan setakat ini tahun ini berbanding 20 tangkapan sepanjang tahun lepas.

"Pada 2009, kita tangkap 13 lelaki dan tujuh wanita serta 13 kg dadah jenis syabu dirampas. Berlaku peningkatan apabila setakat hari ini, kita tahan 108 warga Iran dengan rampasan dadah sebanyak 270 kg dadah jenis yang sama," katanya.

Beliau berkata bagi menangani masalah tersebut, JSJN Bukit Aman dengan bantuan KLIA telah menubuhkan satu pasukan khas.

"Dalam tempoh tiga bulan lebih kurang 40 orang kurier ditangkap. Pada bulan Mei kita dapati ada penurunan, tapi akhir-akhir ini ia meningkat kembali, tetapi kali ini melibatkan jumlah dadah yang sedikit berbanding tahun lepas.

"Mereka membawa dadah kurang dari 1 kilogram berbanding tahun lepas iaitu 2 kilo ke atas kerana kita percaya ini adalah kerana mereka mahu elakkan kerugian," katanya.

Othman berkata polis juga berjaya menumpaskan kegiatan warga Iran yang menggunakan rumah-rumah yang disewa di negara ini sebagai makmal memproses dadah.

"Tahun lepas kita berjaya serbu dua rumah, tahun ini kita serbu tiga yang keseluruhannya melibatkan (nilai dadah) RM40 juta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain