suria

Mayat Anggota Polis Hilang Selepas Memancing Dijumpai

PASIR PUTEH: Mayat Lans Koperal Basri Abdul Majid, yang dilaporkan hilang ketika pulang daripada memancing di Laut China Selatan Jumaat lepas, dijumpai terapung di kawasan perairan antara Kelantan dan Terengganu petang Isnin.

Komander Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah 10, Saifullizan Ibrahim berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 11 batu nautika dari Tok Bali oleh bot peronda APMM pada 4 petang.

"Ia dalam keadaan terlungkup, berpakaian seluar dan berbaju, dalam keadaan sempurna selain terdapat beberapa kesan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di sini.

Mangsa dipercayai mati lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama lapan rakannya ketika pulang daripada memancing di Pulau Susu Dara berhampiran Pulau Perhentian.

Kehilangan Basri, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, hanya disedari rakannya sebaik tiba di Tok Bali.

Saifullizan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat, dan dimandi serta dikafankan di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada anggota keluarga Allahyarham. - BERNAMA

Artikel Lain