suria

Kerani Stesen Minyak Ditetak Perompak Sebelum Larikan RM20,000

IPOH: Seorang kerani wanita sebuah stesen minyak cedera ditetak seorang perompak bersenjatakan parang yang melarikan wang tunai RM20,000 semasa mangsa dalam perjalanan untuk mendepositkan wang berkenaan.

Rompakan pada kira-kira 3 petang, Isnin, berlaku semasa mangsa yang berusia 23 tahun memberhentikan keretanya di persimpangan lampu berisyarat di Jalan Bercham di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata rakan mangsa yang juga seorang wanita, bagaimanapun terselamat daripada serangan lelaki berkenaan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng tiba-tiba keluar dari sebuah kereta yang berhenti di sebelah kenderaan mangsa dengan seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dengan parang.

"Lelaki bersenjata itu memecahkan cermin dan mengugutnya (mangsa) supaya menyerahkan wang yang dibawa," katanya.

Azisman berkata lelaki itu kemudian bertindak menetak tangan mangsa sebelum merampas beg yang mengandungi wang tunai berkenaan.

Mangsa yang cedera ringan, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain