suria

Bapa Remaja Mati Ditetak Sekumpulan Samseng Berparang

KUALA LUMPUR: Gara-gara enggan menyertai geng samseng, bapa seorang remaja lelaki mati selepas ditetak manakala abangnya cedera parah diserang empat samseng berparang dalam kejadian di rumah mereka di tingkat enam, Flat Permai Ria, Ampang Tasik Permai, Ampang Jaya pada Sabtu.

Sebelum kejadian pukul 10 malam itu, empat lelaki bersenjata yang turut membawa sebuah beg dikatakan datang ke rumah remaja berusia 22 tahun itu, dipercayai untuk menggertak dan memaksanya menyertai kumpulan mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata ketika kejadian, remaja itu berada di rumahnya bersama ibu, bapa dan abang sulungnya yang berusia 34 tahun.

Katanya tindakan keempat-empat samseng yang memaksa anak bongsu mangsa untuk menyertai kumpulan mereka, mengundang rasa tidak senang lelaki berusia 62 tahun itu yang kemudiannya turut campur tangan.

"Berlaku pergelutan antara bapa remaja itu dengan kumpulan samseng terbabit menyebabkannya cedera parah terkena beberapa tetakan sebelum disahkan mati di tempat kejadian. "Anak sulung mangsa yang cuba membantu turut dicederakan empat samseng itu dan dilaporkan kritikal. Remaja berusia 22 tahun itu hanya cedera ringan di bahu, manakala ibunya selamat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata selepas kejadian, semua samseng itu cuba melarikan diri namun salah seorang daripada mereka sempat dibelasah oleh jiran-jiran mangsa yang mengejarnya.

"Samseng yang cedera parah itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas diheret masuk ke dalam kereta jenis Nissan Sentra oleh dua rakannya. Seorang lagi rakan mereka difahamkan melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Abdul Jalil berkata pemeriksaan lanjut di rumah mangsa menemui sebuah beg berisi parang yang ditinggalkan empat samseng terbabit.

Katanya polis setakat ini tidak menolak serangan itu bermotifkan dendam selain cubaan menarik mana-mana remaja untuk menyertai kumpulan samseng.

Katanya polis sedang mengambil keterangan remaja berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Abdul Jalil turut meminta orang ramai yang mungkin terlihat kelibat individu berketurunan India yang cedera parah di kawasan mereka, untuk terus menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, 03-42522222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain