suria

Tanah Runtuh, Dua Warga Bangladesh Maut

ALOR SETAR: Dua warga Bangladesh maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh ketika memasang paip pembetungan di kawasan pembinaan Taman Bandar Baru Fasa 2 di Pokok Sena dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Abdul Ghafar Rajab berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, tiga warga Bangladesh berusia 30-an berada di dalam lubang sedalam 6.096 meter, manakala seorang lagi rakan senegara mereka berada di atas.

Beliau berkata tanah runtuh secara tiba-tiba dan menghempap dua pekerja berkenaan manakala seorang lagi berjaya diselamatkan rakannya yang berada di atas.

"Usaha mencari mangsa yang tertimbus dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam. Mayat pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 5.15 petang manakala mayat kedua pada pukul 5.30 petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Identiti ketiga-tiga mangsa yang maut dan cedera dalam kejadian itu belum dapat disahkan, katanya.

Abdul Ghafar berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat, sementara pekerja yang cedera di tangan dalam kejadian itu, turut menerima rawatan di hospital sama.

Beliau berkata siasatan lanjut mengenai kejadian itu akan dijalankan kerana sebelum ini, insiden serupa pernah berlaku di tempat yang sama dan polis akan memanggil kontraktor projek berkenaan.

"Mungkin dalam hal ini, perkara-perkara keselamatan tidak diambil kira menyebabkan kejadian itu boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan Siti Aminah Aroff, 35, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar orang meminta tolong, dan apabila sampai di tempat kejadian, seorang warga Bangladesh memberitahunya adik ipar lelaki itu telah tertimbus akibat dihempap tanah.

Tinjauan Bernama ke rumah sewa keempat-empat warga Bangladesh itu mendapati pekerja yang berada di atas sewaktu kejadian tanah runtuh yang dikenali sebagai Shamsul, sedang meraung-meraung kerana kedua-dua mangsa yang tertimbus adalah adik dan adik iparnya. - BERNAMA

Artikel Lain