suria

Pelancongan Lukisan Diharap Tingkatkan Pendapatan Jualan Mega

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan berharap produk pelancongan baru negara - Pelancongan Lukisan - akan membantu merealisasikan sasarannya untuk memungut RM15.5 bilion dalam pendapatan daripada jualan mega tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata beliau yakin sasaran itu boleh dicapai memandangkan jumlah pelancong yang berminat membeli produk kesenian khasnya lukisan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Lelongan Lukisan Malaysia.

Berucap pada pelancaran itu, Dr Ng berkata Pelancongan Lukisan, yang mempromosikan kekayaan lukisan Malaysia, akan meningkat lagi dengan pelancaran Lelongan Lukisan Malaysia pada 8 Ogos ini.

Beliau berkata lelongan itu akan menjadi acara kemuncak dalam sejarah lukisan Malaysia dan langkah pertama ke arah penubuhan pasaran lukisan sederhana yang kukuh di negara ini.

Sebanyak 62 lukisan bernilai lebih RM1 juta akan dilelong pada lelongan itu yang dianjurkan oleh Henry Butcher Art Auctioneers Sdn Bhd dengan bantuan Galeri Kesenian Negara dan BrandLaureate.

Dr Ng berkata lelongan itu akan menetapkan tanda aras harga bagi pelukis dan karyanya dalam tempoh tertentu kerjaya mereka, memperbetulkan sebarang kesilapan, mewujudkan pasaran sederhana yang betul-betul munasabah dan meningkatkan kredibiliti pelukis.

Beliau berkata sebagai satu perniagaan, pasaran lukisan mudah dipasarkan di dunia kerana produk itu eksklusif dan dalam sumber yang terhad, dengan ini dapat menghapuskan sebarang keperluan untuk bersaing dengan produk tempatan atau pasaran.

"Tidak seperti di China, Korea Selatan dan Indonesia, Malaysia masih memerlukan masa untuk mempromosikan lukisan sebagai satu kelas pelaburan. Jika kita mempelajari dari negara-negara ini, kemunculan rumah lelongan dalam pasaran akan menimbulkan minat baru dalam pengumpulan lukisan," kata beliau.

Sungguhpun galeri dan penjual persendirian sebelum ini berfungsi dengan baiknya, khasnya dalam penubuhan pasaran lukisan utama, ketiadaan ruang terbuka yang kredible untuk membeli dan menjual kerja-kerja lukisan, secara tidak langsung mengehadkan pertumbuhan pengumpulan lukisan di negara, kata beliau.

Dr Ng berharap Festival Pelancongan Lukisan Kontemporari 1Malaysia 2010 (MCAT 2010) bulan ini akan menjadi landasan untuk kemasukan Malaysia sebagai penggerak yang serius dalam arena lukisan rantau ini, di samping pameran lukisan antarabangsa seperti Festival Lukisan Kontemporari Beijing (China), Festival Lukisan Kontemporari Dubai (Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Festival Lukisan Vienna (Austria) dan Festival Lukisan dan Antikuiti Hong Kong.

Mengenai karnival jualan mega, beliau berkata kempen itu berjaya kerana jumlah kedatangan pelancong setiap tahun semasa bulan jualan tersebut telah meningkat.

"Pada 2009, kedatangan pelancong dalam tempoh suku ketiga tahun itu, iaitu semasa karnival itu, mencatatkan 6.03 juta berbanding 5.37 juta pada tempoh yang sama tahun 2008. Ini menunjukkan peningkatan 12.4 peratus," kata beliau.

"Dalam aspek pendapatan pada 2009, hasil membeli-belah sebanyak 28.3 peratus atau RM15.11 bilion pada keseluruhan pembelian pelancong sebanyak RM53.4 bilion, selepas penginapan 31.1 peratus dan makanan dan minuman 17.4 peratus," tambah beliau.

Bagi tahun ini, jumlah kedatangan pelancong sehingga Mei lepas ialah 9.6 juta, peningkatan 4.2 peratus mengatasi tempoh yang sama tahun lepas, dan hasil daripada pelancong untuk suku pertama tahun ini berjumlah RM13 bilion, peningkatan 7.5 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

"Selaras dengan ini, usaha gigih sedang dilakukkan untuk meletakkan produk pelancongan baru ini sebagai sasaran dan tarikan kepada pelancong yang berbelanja tinggi yang ada kesan langsung terhadap pendapatan negara," kata beliau.

Kemudian, pada pelancaran Pertandingan dan Ekspo Golden Chef 2010 di the Mines Resort City di Seri Kembangan dekat sini, Dr Ng berkata beliau berharap lebih banyak masakan jenis Cina yang halal akan dimajukan di Malaysia.

Acara tiga hari itu dianjurkan oleh Persatuan Restoran Ku Su Shin Choong Hung Selangor dan Wilayah Persekutuan Malaysia dan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Persatuan Kuisine Cina Dunia dari China dengan lebih 50 peserta dari seluruh dunia menyertai pertandingan tersebut yang bermula semalam. - BERNAMA

Artikel Lain