suria

PDRM Tunggu Permohonan Rasmi Polis Punjab Untuk Jejak Militan Sikh

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu permintaan rasmi Polis Punjab yang mahu menggunakan saluran diplomatik bagi menangkap sekurang-kurangnya empat suspek militan Sikh yang mereka dakwa bersembunyi di Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sehingga kini, PDRM belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak berkuasa New Delhi itu untuk mendapatkan bantuan Malaysia bagi menjejaki suspek.

Beliau berkata PDRM akan bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk pihak berkuasa India sekiranya diperlukan dalam menangani gerakan militan itu.

"Mereka (Polis Punjab) perlu maklumkan pada kita dan minta bantuan secara rasmi agar tindakan segera mengikut peruntukan undang-undang dapat dijalankan.

"Bagaimanapun apa bentuk tindakan yang kita akan ambil bergantung kepada keadaan serta mengkaji kesalahan mereka... kita perlu juga lihat undang-undang antarabangsa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Musa berkata PDRM tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang sekiranya gerakan militan tersebut boleh menjejas keselamatan negara.

Beliau mengulas laporan Bernama dari New Delhi yang memetik Ketua Polis Patiala, suprintendan kanan Ranbir Singh Khatra sebagai berkata bahawa mereka mahu menggunakan saluran diplomatik dengan meminta kerjasama kerajaan Malaysia dalam memerangi keganasan dan menjejak kesemua suspek tersebut.

Berdasarkan maklumat risikan, beliau menyatakan Harminder Singh, 45, Daljit Singh dan Harpreet Singh, kedua-duanya berumur dalam lingkungan 20-an -- kesemua mereka dari negeri Punjab -- disyaki masih bersembunyi di Malaysia. (belum ada maklumat mengenai suspek keempat).

Baru-baru ini polis Punjab mendakwa bahawa Khalistan Liberation Force, satu kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam, telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain