suria

Inisiatif Vogue Tidak Ambil Masa Lama Ubah Persepsi Rakyat Kepada BN

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin inisiatif Pergerakan Puteri Umno menggerakkan kerja amal menerusi skuad sukarelawannya tidak akan mengambil masa lama untuk mengubah persepsi rakyat terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata skuad sukarelawan Puteri Umno yang dikenali sebagai "Voluntary Group for Everyone" berkemampuan menarik minat penyertaan masyarakat untuk sama-sama menggembeling tenaga mereka bagi menggerakkan program amal secara besar-besaran di seluruh negara.

Beliau berkata program amal ini boleh dilakukan oleh Puteri Umno memandangkan ia terdiri daripada remaja dan belia yang bertenaga untuk menggerakkan program tersebut bagi menarik penyertaan masyarakat.

"Masyarakat mungkin sedang menunggu apakah yang akan kita lakukan untuk membawa kesan yang lebih baik, hasil yang lebih baik kepada segala langkah yang diambil oleh pimpinan dan kerajaan kita," katanya ketika melancarkan skuad VOGUE di sini, Ahad.

Rakyat sedang menunggu inisiatif baru yang hendak dipelopori oleh parti dan kerajaan untuk kebaikan masa depan mereka, katanya.

Muhyiddin berkata dengan beberapa aktiviti yang dilaksanakan di setiap peringkat di seluruh negara seperti program Juara Rakyat yang digerakkan hampir setahun lepas, sudah menunjukkan kesan-kesan yang baik kerana masyarakat sudah dapat menilai bahawa Umno adalah sebuah pergerakan politik yang sentiasa dalam situasi terkini.

Di kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa, masih ramai yang memerlukan bantuan sokongan dan bimbingan daripada Umno dan BN, kata Muhyiddin sambil berkata inisiatif ini membuktikan dengan jelas bahawa proses transformasi yang ingin dilakukan Umno sedang berjalan dengan begitu baiknya.

Beliau berkata dengan program ini yang dicetuskan oleh pemimpin muda Umno yang bukan hanya terlibat secara aktif dalam politik tetapi ia diterjemahkan dalam bentuk kerja amal yang boleh mengubah persepsi masyarakat mengenai Umno.

Mungkin program ini dapat menukar persepsi sesetengah pihak yang menganggap Umno sebuah pertubuhan yang tidak bermaya dan kurang motivasi sehingga ada pihak yang tidak mahu bersama dengan parti ini lagi, kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berharap Puteri Umno menerusi VOGUE ini bukanlah aktiviti yang dilakukan untuk musim tertentu sahaja seperti pilihan raya tetapi ia hendaklah dijalankan secara berterusan melibatkan peringkat bahagian dan cawangan parti.

Katanya program amal ini hendaklah jangan terbatas kepada kaum Melayu dan Bumiputera sahaja dan ia mestilah atas gagasan 1Malaysia yang kini menjadi asas perjuangan negara.

"Segala usaha yang saudari lakukan mestilah melampaui batas kaum, agama dan keperluan membimbing masyarakat kepada yang baik," tegas Muhyiddin. - BERNAMA

Artikel Lain