suria

SDAR, SSAS Juara Bahas Piala Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di Negeri Sembilan dan Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS) Putrajaya menjuarai pertandingan bahas Piala Perdana Menteri kali ke-37, masing-masing bagi kategori Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Pembahas SDAR, Adzlan Qushaimi Jamaludin turut muncul sebagai Pembahas Terbaik bagi kategori Bahasa Malaysia sementara pembahas dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Muhammad Aiman Sabeh Mohd Shahib mengungguli Pembahas Terbaik bagi kategori Bahasa Inggeris.

Empat pasukan layak ke pertandingan akhir, masing-masing dua bagi kategori Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Sabtu.

SDAR yang bertemu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor membahaskan tajuk "UPSR dan PMR Wajar Dihapuskan" manakala SASS berdepan STAR dengan tajuk "The New Media Unites The World".

Perbahasan ini khusus bagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh.

Juara menerima piala pusingan, sijil, wang tunai RM4,000 dan hadiah iringan manakala pembahas terbaik pula menerima wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah iringan.

Naib juara pula menerima piala pusingan, sijil, wang tunai RM2,000 dan hadiah iringan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - BERNAMA

Artikel Lain