suria

Rogol: Polis Harap Lebih Ramai Saksi Tampil

PETALING JAYA: Pemandu van yang ditahan atas kesalahan merogol murid perempuan berusia 10 tahun enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Justeru polis kini sedang mengumpulkan bukti daripada sekolah mangsa.

Sumber mendedahkan suspek enggan bekerjasama semasa disoal siasat dan polis mengharapkan agar lebih ramai saksi tampil bagi membantu siasatan.

"Polis dijangka akan bercakap dengan guru-guru dan murid sekolah berkenaan bagi memastikan sama ada terdapat pelajar lain yang dirogol atau dicabul," kata salah sumber berkenaan.

Polis pada Jumaat mendapat kebenaran mahkamah untuk melanjutkan enam hari lagi tempoh tahanan reman ke atas suspek yang didakwa melakukan jenayah berkenaan berdekatan sebuah tadika di Jalan Othman, Petaling Jaya, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis dalam tempoh itu, akan menyiasat penglibatan suspek berusia 51 tahun itu dalam dua lagi kes rogol berasingan di daerah itu iaitu melibatkan seorang gadis berumur 11 tahun dan anak perempuan angkat suspek sendiri berusia sembilan tahun.

Menurut Arjunaidi, polis masih menunggu keputusan pemeriksaan perubatan ketiga-tiga murid berkenaan untuk memastikan sama ada mereka dirogol atau diperkosa.

Difahamkan van berkenaan tidak mempunyai logo atau perkataan 'Bas Sekolah'.

Polis juga menyiasat sama ada van berkenaan milik suspek atau sebaliknya.

Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan suspek memperdaya mangsa-mangsanya ke tempat lain bagi melakukan jenayah berkenaan.

Arjunaidi juga mengesahkan polis telahpun merekodkan keterangan beberapa saksi dan mengharapkan lebih ramai tampil berbuat demikian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluaga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata satu dasar perlu digubal agar setiap van atau bas sekolah perlu mempunyai konduktor atau kelindan.

Menurut beliau Kementerian Pengangkutan harus menetapkan polisi berkenaan sambil menambah adalah lebih baik jika konduktor atau kelindan berkenaan adalah wanita.

Artikel Lain