suria

Reformasi Pendidikan Perlu Seiring Dengan Transformasi Ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan reformasi dalam bidang pendidikannya secara holistik agar ia sejajar dengan pelaksanaan transformasi terhadap ekonomi negara untuk menghasilkan ekonomi berasaskan inovasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.

"Oleh kerana inovasi menjadi kunci bagi transformasi ekonomi negara kita, maka sistem pendidikan juga perlu menuju ke arah yang sama.

"Kita perlu memantapkan lagi unsur kreativiti dalam kurikulum, dalam proses pengajaran dan dalam pembelajaran serta sistem penilaian, dengan matlamat untuk melahirkan modal insan yang kreatif serta inovatif," katanya dalam ucap utama pada Sidang Kemuncak Tahunan Pemimpin-pemimpin Pelajar Malaysia keempat di sini.

Dalam ucapan bertajuk "Peranan Pendidikan Dalam Melakar Masa Depan: Merealisasikan 1Malaysia", Muhyiddin berkata sistem pendidikan di negara ini perlu mampu melengkapkan golongan muda, yang merupakan modal insan negara untuk masa akan datang, dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan agar mereka dapat menghasilkan ciptaan dan bersikap inovatif.

Katanya perubahan yang amat diperlukan dalam bidang pendidikan ini sudah pasti akan dapat menghasilkan modal insan yang diharapkan untuk membawa negara ke tahap pembangunan ekonomi seterusnya, iaitu yang dipacu oleh kreativiti dan inovasi.

Muhyiddin berkata reformasi pendidikan yang dimaksudkan ini akan meningkatkan kualiti sekolah dan membolehkan golongan muda menampilkan potensi sebenar masing-masing untuk mencapai kejayaan dalam ekonomi global yang semakin berdaya saing.

"Pada waktu yang sama, ia juga akan membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi dengan menghasilkan kekayaan baru bagi negara dan mengembangkan kek ekonomi, yang seterusnya memungkinkan pengagihan boleh dibuat secara adil," katanya.

Beliau berkata reformasi yang dilakukan terhadap sistem pendidikan juga akan membantu membina sebuah negara Malaysia yang bersatu-padu kerana paksi kepada reformasi ini ialah pendemokrasian pendidikan.

Dengan menyediakan dan meningkatkan kualiti pendidikan untuk semua kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, maka terhapuslah rasa terpinggir atau prejudis kaum dan kanak-kanak Malaysia akan mempunyai hak yang sama untuk menikmati pendidikan berkualiti, katanya.

Muhyiddin berkata langkah meningkatkan kualiti pendidikan negara ini juga bererti meningkatkan kemampuan rakyat pelbagai kaum memperbaiki taraf sosio ekonomi masing-masing, "yang akhirnya akan menghapuskan punca utama segala sengketa dan prejudis pada masa akan datang."

"Ini bukan sekadar suatu angan-angan. Dalam sejarah negara kita, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin, terutama masyarakat bumiputera," katanya.

Muhyiddin berkata sistem pendidikan di negara ini juga memainkan peranan penting dalam memantapkan usaha pembinaan negara dan perpaduan nasional, apabila sekolah bukan sahaja merupakan suatu lokasi fizikal untuk menuntut ilmu, tetapi juga sebuah agensi sosialisasi, di mana kanak-kanak dari semua bangsa boleh bertemu dan berinteraksi.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan telah memulakan usaha untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama oleh setiap pelajar, tanpa mengira bangsa dan sebagai "sebuah agensi berkesan untuk mewujudkan kesepaduan sosial dan perpaduan nasional."

"Kami lakukan ini dengan meletakkan kanak-kanak daripada semua kaum di bawah sistem sekolah kebangsaan, yang bukan sahaja menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, tetapi juga memenuhi keperluan khusus murid pelbagai kaum, termasuk mereka yang perlu mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

"Oleh itu, kami bercadang untuk meluaskan dasar ini dengan memperkenalkan Mandarin dan Tamil, dua bahasa utama vernakular di negara ini, sebagai mata pelajaran elektif di sekolah kebangsaan untuk menambah peluang bagi kanak-kanak daripada semua kaum mempelajari dua bahasa penting itu," katanya.

Sidang kemuncak dua hari itu, yang bertemakan "Malaysia Kita, Melangkah Ke Arah Masa Depan", adalah anjuran Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC) dan dihadiri kira-kira 350 pelajar dan siswazah Malaysia dari universiti tempatan dan luar negara.- BERNAMA

Artikel Lain