suria

PR Nafi Keluarkan Notis Adakan Pilihan Raya - Azmin

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang menafikan satu laporan bahawa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS di Selangor akan memberikan notis enam bulan untuk mengadakan pilihan raya.

Naib presiden PKR dan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di kalangan pemimpin pakatan.

"Ia tidak pernah dibincangkan. Tidak ada keputusan untuk tujuan itu. Mereka juga belum membuat keputusan pada peringkat negeri kerana perkara tersebut mestilah dibincangkan pada peringkat nasional."

"Ini satu perkara dasar, membabitkan tiga pihak. Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) akan membawanya pada jawatankuasa nasional dahulu. Setakat ini, isu itu tidak pernah dibincangkan," katanya ketika dihubungi.

Sebuah portal berita melaporkan bahawa ketua penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sebagai dipetik berkata negeri itu akan memberikan notis enam bulan mengenai hasratnya untuk mengadakan pilihan raya ekoran keputusan untuk mengemukakan notis itu dibuat pada mesyuarat Majlis PR negeri pada 19 Julai lepas.

Roslan dilaporkan berkata bahawa notis tersebut akan mengukuhkan amalan demokrasi di negara ini dan dengannya, parti-parti politik boleh menyediakan rangka kerja tidak seperti amalan biasa di mana pembubaran dewan undangan negeri dan Parlimen diumumkan pada saat-saat akhir.

Selain Azmin, pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah juga menafikan ketiga-tiga parti itu yang mentadbir Selangor, telah membuat keputusan tersebut.

Dalam kenyataan, Yong, yang juga Exco Selangor berkata pembubaran dewan undangan negeri adalah hak mutlak Sultan Selangor dan tidak boleh diputuskan sendiri oleh kerajaan berkenaan.

Beliau juga berkata sebarang langkah untuk membubarkan dewan undangan negeri juga memerlukan keputusan daripada majlis kepimpinan nasionalnya.

"Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan yang merujuk kepada pilihan raya negeri mungkin atau tidak mungkin diadakan.

Tumpuan PR masih pada mentadbir negeri tersebut untuk kebaikan rakyat Selangor," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain