suria

Kes Denggi Di Kelantan Naik Mendadak

KOTA BARU: Wabak demam denggi di Kelantan naik mendadak setakat ini tahun ini berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Wan Mansor Wan Hamzah.

Beliau berkata, kedaan ini adalah membimbangkan.

"Sehingga 24 Julai lepas, sebanyak 1,707 kes demam denggi dilapor dikesan di seluruh negeri yang membabitkan lima kematian, berbanding 1,031 kes dan satu kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya pada majlis Jom Ganyang Aedes bagi peringkat Daerah Kota Baru, Sabtu.

Beliau berkata, tiga daripada lima kes kematian itu berlaku di daerah Pasir Mas dan dua lagi di Kota Baharu.

Fenomena peningkatan kes ini agak membimbangkan dan usaha-usaha sedang dijalankan bagi mencegah wabaknya daripada terus merebak, katanya.

Dr Wan Mansor melahirkan rasa kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak prihatin untuk membasmi penyakit berkenaan.

Misalnya daripada kira-kira 200 orang yang menyertai gerakan gotong royong membasmi denggi hari ini, bilangan penduduk tempatan yang menyertainya boleh dibilang dengan jari.

"Ada antara keluarga mangsa penyakit denggi sendiri yang tidak mengendahkan penjagaan kawasan rumah mereka yang menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain