suria

Iskandar Sarudin Duta Baru Malaysia Ke China

BEIJING: Duta baru Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin, menyampaikan watikah pelantikannya kepada Presiden China Hu Jintao di Great Hall of the People pada Jumaat.

Pelantikan beliau berkuat kuasa serta merta.

Iskandar, 55, memulakan kerjayanya dengan Kementerian Luar pada 1979, sejurus selepas memperoleh ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dari Universiti Malaya.

Sebelum dilantik ke jawatannya sekarang, beliau pernah memegang beberapa jawatan peringkat tinggi dalam kementerian dan pejabat kedutaan.

Beliau merupakan Penolong Setiausaha Asean di Kementerian Luar pada 1979; Ketua Penolong Setiausaha (CHOGM, 1989); Penolong Setiausaha (Asia Timur, 1989); Timbalan Ketua Pengarah (Asean, 1998); dan Timbalan Ketua Pengarah III pada 2006.

Bagi kerjaya dengan pejabat kedutaan, Iskandar bermula sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Malaysia di Indonesia (1983), Setiausaha Pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Lagos, Nigeria (1986) dan kemudian Penasihat Kedutaan di Kedutaan Malaysia di Chile (1991) dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Malaysia di Sarajevo, Bosnia(1996).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Sri Lanka (2000) dan Duta ke Filipina (2004).

Iskandar berkahwin dengan Datin Rahmah Mohd Lajis dan mempunyai dua anak. -BERNAMA

Artikel Lain