suria

Bayi Perempuan Ditinggalkan Depan Gerai

NIBONG TEBAL: Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditinggalkan berbalut dengan kain dan surat khabar di hadapan sebuah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemui pukul 7.56 pagi ketika pemilik kedai berkenaan hendak membuka kedainya.

"Bayi ini dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum dijumpai dan masih bertali pusat. Bagaimanapun keadaannya ketika itu agak lemah dan kebiruan kerana kesejukan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, bayi seberat 2.58 kilogram itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap di sini untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini kita belum dapat kenal pasti keturunan bayi itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekat bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain