suria

Syarikat Pembinaan Saman Kumpulan Semesta

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pembinaan yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja melombong pasir memfailkan saman bagi menuntut lebih RM1.37 juta daripada anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kerana mendakwa penamatan kontrak dibuat secara salah.

Resvil Holdings Sdn Bhd (RHSD) memfailkan saman itu pada pukul 10.40 pagi Jumaat, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam Adnan Seman @ Abdullah daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates.

Turut hadir ialah pengerusi eksekutif RHSD, Datuk Suhaime Saad.

Berdasarkan penyataan tuntutan, syarikat yang ditubuhkan sejak 1998 itu selaku plaintif mendakwa KSSB (defendan) telah menawarkan kontrak yang tertakluk pada syarat dan terma untuk melombong pasir di kawasan seluas 25 ekar di Lot 6232, Mukim Bestari Jaya pada 16 Disember 2008.

Plaintif seterusnya mendakwa, pihak defendan telah mencadangkan kepada plaintif untuk menggunakan khidmat sebuah syarikat sebagai sub-kontraktor bagi kerja-kerja melombong pasir yang telah dimulakan sejak Disember.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa telah menerima notis daripada defendan bertarikh 23 September 2009 yang menamatkan kontrak melombong pasir dalam masa sebulan dari tarikh notis atas alasan plaintif telah melantik pihak ketiga sebagai sub-kontraktor.

Justeru itu, plaintif mendakwa penamatan kontrak itu adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang kerana defendan sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai sub-kontraktor tersebut memandangkan perlantikannya adalah dicadangkan oleh defendan.

Dakwa plaintif lagi, defendan mempunyai pengetahuan mengenai sub-kontraktor itu kerana pihak terbabit turut menghadiri mesyuarat antara plaintif dan defendan.

Plaintif mendakwa, wujud konspirasi untuk merampas kontrak itu dan penamatan kontrak merupakan satu alasan semata-mata untuk tujuan menjustifikasikan penamatan kontrak.

Penamatan kontrak juga didakwa telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dari segi keuntungan selama empat bulan memandangkan kontrak itu akan tamat pada Disember 2009.

Plaintif juga mendakwa, defendan telah gagal, enggan atau cuai untuk mematuhi notis tuntutan peguam mereka bertarikh 17 November 2009 yang menuntut jumlah yang terhutang akibat penamatan kontrak.

Justeru itu, plaintif melalui writ samannya menuntut defendan membayar bon perlaksanaan berjumlah RM360,000 dan ganti rugi khas sebanyak RM1, 013, 529.60 bagi kehilangan keuntungan, dan ganti rugi am yang akan ditafsirkan mahkamah.

Plaintif juga menuntut faedah sebanyak 8 peratus setahun ke atas ganti rugi tersebut dari tarikh tindakan sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif yang didapati sesuai oleh mahkamah.

Artikel Lain