suria

Putrajaya Sedia Jadi 'Bandar Mesra Belia'

PUTRAJAYA: Selain terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan dan tumpuan pelancong dalam serta luar negara, Putrajaya maju setapak lagi apabila bakal dikenali 'Bandar Mesra Belia' menjelang hujung tahun ini sebagaimana yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan Hari Belia, Mei lalu.

Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman berkata sejak awal perancangan Putrajaya lagi sudah terdapat banyak kemudahan yang dirancang untuk para belia terutamanya menjurus kepada sukan dan riadah, ia sekaligus menafikan andaian menyatakan bandaraya itu seringkali kelihatan suram dan hanya sesuai untuk 'warga tua'.

Samsudin berkata misalnya belia yang menggemari aktiviti lasak Taman Cabaran Putrajaya terletak bersempadan dengan Taman Selatan di Presint 20, tersedia pelbagai kemudahan seperti sukan mendaki, sukan luncur, sukan berbasikal dan memanjat tembok tiruan yang pastinya memenuhi kehendak generasi muda.

Mula beroperasi pada 2009 dengan keluasan 30.33 hektar taman cabaran itu mempunyai sebuah bangunan berkeluasan 2,100 meter persegi dengan dinding mendaki berbentuk Trapezional, bersaiz 42 meter lebar, 42 meter panjang dan ketinggian 20 meter untuk penggemar sukan mendaki.

Sementara bagi penggemar sukan luncur pula, arena 'luncur bowl' seluas 2,600 meter persegi dengan kombinasi tiga lengkokkan bowl yang dikenali 'hips', 'spine' dan 'street spine' pastinya memberi kepuasan.

Belia yang gemar berbasikal pula boleh menunggang di Denai Basikal Lasak yang dibina di puncak dan lereng bukit Taman Cabaran di dalam kawasan hutan kebun getah dan kelapa sawit, panjang keseluruhannya 9.1 kilometer, mempunyai pelbagai jenis serta peringkat halangan seperti 'core trail loop', 'XC loop', 'downhill fun ride', 'free cross' dan 'slope style line'.

Samsudin berkata Kompleks Sukan Air di Presint 6, selain menjadi kemegahan Putrajaya, kompleks itu seringkali menjadi venue utama pelbagai jenis sukan air dunia kerana selain mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa, kualiti air di tasik yang mencapai kelas 2B diiktiraf oleh Piawaian Interim Kualiti Air Kebangsaan (INWQS).

"Kompleks itu bukan sahaja menjadi tumpuan belia dalam negara malah peserta sukan air dari luar negara untuk menjalani sesi latihan. Para belia boleh mengadakan aktiviti seperti sukan polo air, kayak, jet ski, kenu dan banyak lagi," katanya kepada Bernama.

Kompleks Sukan Taman Pancarona di Presint 18 pula katanya tersedia kemudahan padang bola sepak, tiga gelanggang bola tampar, empat gelanggang takraw dan dua gelanggang futsal, bola keranjang, serta dua gelanggang bola jaring.

Beliau berkata memandangkan sukan futsal yang kini menjadi tumpuan belia, 11 gelanggang futsal dibina di Presint 18 dengan kos pembinaan hampir RM3.4 juta dan dianggap terbaik serta terbesar di negara ini.

"Di setiap presint pula disediakan Kompleks Kejiranan yang lengkap dengan gymnasium, gelanggang badminton, gelanggang tenis, gelanggang skuash, kolam renang serta kawasan lapang bagi belia kawasan sekitar menjalankan aktiviti sihat.

Bagi belia yang mengemari aktiviti perkhemahan sambil menikmati keindahan semula jadi, Taman Wetland pastinya memberikan keseronokan serta kepuasan, merangkumi kawasan seluas 162 hektar yang meliputi 24 sel wetland dan terdapat 70 spesis tumbuhan wetland asli dan 24 spesis ikan air tawar tempatan.

"Di situ lengkap tempat makan, mandi serta solat dan sudah tentu sesuai bagi belia untuk memahami, menghayati dan menikmati alam semula jadi sambil menjalankan program pembelajaran," katanya.

Ditanya mengenai sambutan terhadap semua kemudahan yang disediakan itu, Samsudin berkata hampir setiap minggu tempat-tempat itu menerima tempahan yang bukan sahaja datang dari belia sekitar Putrajaya malah dari tempat lain.

"Kadangkala tidak menang tangan untuk melayani tempahan, justeru itu Perbadanan merancang untuk mewujudkan lebih banyak lagi kawasan rekreasi sesuai untuk belia serta penginapan seperti hostel bagi kemudahan belia untuk menginap," katanya.

Jelas Samsudin lagi yang pasti Putrajaya bakal menjadi pusat aktiviti belia yang utama dengan pelbagai aktiviti sihat di samping status elit Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan terus terpelihara.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Fathul Razi Bakri berkata pelbagai langkah serta pelan perancangan baru ke arah menjadikan Putrajaya Bandar Mesra Belia sedang dirangka KBS dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Perbadanan Putrajaya melalui konsep bersepadu.

Fathul berkata KBS akan membentuk satu jawatankuasa penyelarasan untuk menilai cadangan konsep, penyelarasan aktiviti atau kemudahan, mencari rakan kongsi dan tajaan serta penilaian program.

"Ia bagi memastikan kesemua program dan aktiviti mestilah berasaskan kreativiti, penggabungan tenaga muda dan mesra belia. Minat golongan belia perlu dibina melalui skala kecil dengan penyediaan aktiviti mingguan yang berterusan," katanya.

Di samping itu beliau berkata apa juga tarikan belia yang ada di Kuala Lumpur mesti ada di Putrajaya termasuk promosi, pengangkutan awam yang mudah dan berkesan, penganjur dan penaja program daripada pelbagai pihak.

"KBS juga mengalu-alukan cadangan dan pandangan terutamanya daripada golongan belia untuk menjadikan usaha itu berjaya seterusnya melahirkan belia yang kreatif, bermoral dan berdaya saing," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain