suria

Polis Bongkar Makmal Memproses Pil Ecstasy Di Tanjung Tokong

PULAU PINANG: Polis berjaya membongkar sebuah mini makmal haram memproses dadah jenis pil ecstacy dalam satu serbuan di sebuah rumah pangsa di Villa Batu Bukit di Tanjung Tokong semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam serbuan kira-kira 10.30 malam tadi, seorang daripada suspek maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat rumah pangsa itu ketika cuba melarikan diri.

"Mayat lelaki yang berumur 32 tahun dari Ampang, Kuala Lumpur itu dijumpai oleh polis berhampiran tempat letak kereta," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Polis turut menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berumur 29 tahun dari Negeri Sembilan yang ditahan di tempat letak kereta rumah pangsa itu ketika cuba melarikan diri dan seorang peniaga baju berumur 28 tahun yang berasal dari Selangor di dalam rumah yang diserbu itu yang terletak di tingkat empat, katanya.

"Polis merampas wang tunai sebanyak RM1,171, 13 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses bahan terlarang berkenaan," katanya.

Gan berkata seorang lagi suspek berjaya ditahan polis kira-kira pukul 11 pagi ini dan menurutnya lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring dan cedera di tingkat tiga bangunan rumah pangsa itu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat ketika cuba melarikan diri ketika serbuan malam tadi.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM56,000 dan polis kini giat mengesan anggota lain sindiket berkenaan.

"Dadah jenis ecstasy itu dipercayai dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri berhampiran," katanya.

Beliau berkata dipercayai anggota sindiket itu baru dua minggu beroperasi di rumah pangsa itu dan sentiasa berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya suspek dalam kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain